mutakhir

20 anak PPR dapat berbahasa Inggeris

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

DALAM tempoh 12 minggu, seramai 20 anak penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Kuala Lumpur sudah mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Ia adalah hasil Program Khaira Literasi Bahasa Inggeris yang dianjurkan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Ahmad Shukri Yusoff berkata, program berkenaan mensasarkan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Menurutnya, hasrat PPZ-MAIWP untuk memastikan generasi muda yang tinggal di kawasan PPR mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

“Program ini akan diperluaskan di seluruh kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan memandangkan sambutan menggalakkan yang diterima.

“Kami juga akan memastikan murid yang menyertai program ini mampu menguasai cabang ilmu lain selain bahasa Inggeris,” katanya ketika ditemui selepas majlis Penyampaian Sijil Peserta Program Enlite: Literasi Bahasa Inggeris di Surau Muhajirin PPR Desa Rejang hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PPR Desa Rejang, Mohd Noor Md Tahir.

Sementara itu, Mohd Noor dalam ucapannya berharap program pendidikan anjuran PPZ-MAIWP dapat diteruskan pada masa akan datang.

Menurutnya, sambutan daripada ibu bapa begitu menggalakkan selepas melihat kejayaan anak mereka menguasai bahasa Inggeris.

“Ada antara penduduk kurang berkemampuan untuk hantar anak ke kelas tambahan. Namun menerusi program ini berjaya melatih peserta lebih yakin untuk bertutur dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 11:21pm
d