mutakhir

'Kalau lambat, anak saya boleh maut'

Oleh Syaherah Mustafa

“DOKTOR kata kalau saya terlambat, anak mungkin mengalami pendarahan yang teruk dan boleh membawa maut,” Siti Hariaty Bee Ismail, 36.

Siti Hariaty, ibu kepada Nur Adriana Bee Zulkarnain, 4, yang mengalami pendarahan dipercayai selepas digigit lintah ketika bermain banjir di rumahnya di Kampung Gual Sitok di Rantau Panjang.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas ternampak kesan darah pada seluar anaknya semalam.

“Pada mulanya saya sangka ia hanya luka biasa tetapi selepas diperiksa, saya terkejut apabila melihat darah keluar dengan banyak (pada kemaluan) dan mula mengesyaki lintah masuk di bahagian itu.

“Apa yang saya pelik, dia langsung tidak menangis dan tidak berasa sakit tetapi saya perasan sejak dua hari lalu Nur Adriana kelihatan pucat mungkin kerana kehilangan darah yang banyak.

“Saya syak mungkin lintah itu masuk ketika anak bermain air banjir berhampiran rumah pada Ahad lalu.

“Saya kemudiannya meminta bantuan jiran supaya menghubungi bomba untuk membawanya ke klinik berdekatan kerana rumah sudah terperangkap dengan banjir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihak klinik kemudiannya mengarahkannya untuk terus membawa Nur Adriana ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan segera.

“Pemeriksaan di hospital mendapati hanya terdapat kesan gigitan di bahagian punggung dan Nur Adriana dibenarkan pulang ke rumah pada 2 petang hari ini.

“Saya bersyukur anak selamat. Saya akan lebih berhati-hati selepas ini untuk elak kejadian sama berulang,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 11:48pm
d