mutakhir

Tarik nafas panjang sebelum rebah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“MENDIANG sempat habiskan makanan sebelum dia tiba-tiba tarik nafas panjang dan meninggal dunia di meja makan,” kata pekerja sebuah kedai makan di Jalan Tambang Badak di Alor Setar yang dikenali sebagai Betty, 35.

Dalam kejadian 4.30 petang semalam itu, Chong Boon Hwa, 73, meninggal dunia ketika sedang menjamu selera selepas dipercayai mengalami serangan jantung.

Menurut Betty, dia sempat memanggil lelaki itu berulang kali dan mangsa kelihatan seperti mengalami sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri.

“Saya kemudiannya menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan dan pegawai perubatan yang tiba kemudiannya mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Difahamkan, mendiang yang menetap di Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar kerap ke kedai itu untuk makan dengan menunggang motosikal seorang diri.

Menurut Betty, setiap kali selepas makan, mendiang akan bangun ke tandas tetapi ketika kejadian dia hanya duduk di meja makan sebelum tidak sedarkan diri.

Sementara itu, anak lelaki mangsa, Chong Lai Ann, 38, berkata, dia sempat bertemu dengan bapanya pagi semalam sebelum keluar bekerja tetapi mendiang kelihatan sihat.

Menurutnya, dia terkejut apabila dimaklumkan kejadian yang menimpa bapanya itu pada 5.30 petang dan terus ke lokasi.

“Bapa saya tak ada penyakit sebelum ini dan apa yang berlaku agak mengejutkan,” katanya.

Mayat mendiang kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) oleh pihaj polis untuk proses selanjutnya.

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 1:42am
d