mutakhir

Pilu rumah dihanyut arus [METROTV]

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

ENAM sekeluarga bukan saja menjadi mangsa banjir, malah lebih memilukan apabila tinggal sehelai sepinggang dan hilang tempat berteduh apabila rumah mereka dihanyutkan arus deras dalam bencana itu di Kampung La di sini.

Suriati Mohd Yusof, 35, berkata, kejadian pada hari pertama bencana itu, Jumaat lalu berlaku ketika bah mula melanda kampung itu sehingga rumah papan didiami mereka ditenggelami banjir sedalam dua meter sebelum dihanyutkan arus.

Menurutnya, kedudukan rumahnya berhampiran Sungai Besut hanya kira-kira 60 meter menyebabkan kediamannya sering dinaiki air pada musim tengkujuh, namun kali ini disifatkan antara yang terburuk pernah dilalui.

Katanya, selepas hujan selama tiga hari, segala persediaan sudah dilakukan dengan mengemas barangan supaya senang untuk berpindah kerana sudah menjangka banjir besar berlaku berikutan hujan lebat tanpa henti.

“Pada pagi Jumaat itu, saya bangun jam 6.30 pagi dan mendapati air belum masuk ke dalam rumah, namun air mula naik mendadak dan melimpah ke dalam rumah sekitar jam 8 pagi ketika saya menyiapkan sarapan.

“Saya segera menyuruh anak sulung, Adam Danish Hardi, 14, berkemas untuk berpindah dan ketika itu, saya lihat rumah dibina daripada papan sudah senget seperti mahu terbalik.

“Panik dengan keselamatan keluarga menyebabkan saya dan anak segera keluar dan menaiki perahu untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.

Suriati berkata, hatinya pilu apabila dia ternampak sisa runtuhan rumahnya yang dihanyutkan arus tersangkut berdekatan pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La, 200 meter dari tapak rumah selepas banjir surut, Sabtu lalu.

Namun, katanya, hujan yang kembali lebat dan banjir semakin teruk menyebabkan sisa runtuhan rumahnya terus dihanyutkan arus dan dijumpai semula 500 meter dari tapak rumah.

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 6:00am
d