mutakhir

Mangsa banjir di Kelantan sedikit menurun

Oleh Muhamaad Razis Ismail

JUMLAH mangsa banjir di Kelantan terus menurun apabila mencatatkan seramai 11,436 orang, berbanding 12,360 orang, semalam.

Sehingga jam 9 pagi ini , semua mangsa banjir membabitkan 4,442 keluarga ditempatkan di 30 di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Tumpat.

Jumlah itu dijangka terus menurun berikutan Jabatan Meterologi Malaysia meramalkan cuaca cerah pada hari ini.

Berdasarkan info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir tertinggi direkodkan di Pasir Mas iaitu seramai 8,117 orang membabitkan 3,288 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS.

Sementara itu, Tumpat mencatatkan peningkatan mangsa banjir apabila seramai 3,183 orang ditempatkan di tujuh PPS, berbanding 3,148 berbanding semalam.

Di Kuala Krai, seramai 56 orang membabitkan 19 keluarga ditempatkan di dua PPS, manakala di Pasir Puteh seramai 80 orang membabitkan 15 keluarga masih berada di dua PPS.

Sementara itu, Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada di paras bahaya namun semakin menurun iaitu 10.05 meter berbanding 10.23 meter semalam.

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 9:58am
d