mutakhir

Tunggu masa nak cekup perompak

Oleh Zuliaty Zulkiffli

POLIS sudah menemui beberapa bukti yang ada kaitan dengan kejadian rompakan di sebuah pasar raya di Alor Mengkudu, Alor Setar, 2 Disember lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, setakat ini pihaknya juga sudah mempunyai keterangan dan bukti termasuk kaitan kes itu dengan rompakan di Perlis.

“Kita dapati modus operandi yang digunakan hampir sama dengan kejadian di Perlis dan siasatan sedang dijalankan.

“Insya-Allah kita akan selesaikan kes ini dalam tempoh terdekat dengan bukti yang sudah dikumpul,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Pasukan Mitsubishi Outlander di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Dalam kejadian 2 Disember lalu, seorang lelaki yang menggunakan senapang dan kapak bertindak memecahkan cermin pameran kedai emas di pasar raya di Alor Mengkudu dan melarikan lima dulang barang kemas bernilai RM200,000 pada jam 7.30 malam itu.

Suspek yang bergerak secara solo melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dikatakan melakukan jenayah sama di sebuah kedai emas di Arau, Perlis pada hari sama iaitu sekitar jam 1.30 tengah hari namun gagal meraih sebarang hasil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/395 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Zainuddin menyerahkan kunci kenderaan jenis Mitsubishi Outlander kepada ketua polis di lima daerah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu, Kulim, Baling dan Padang Terap.

Beliau berkata, sebagai permulaan, PDRM Kedah menerima sembilan kenderaan 2.4cc itu untuk kegunaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPK Kedah serta tujuh daerah diberi keutamaan berikutan kadar kemalangan jalan raya yang tinggi.

“Kenderaan ini menggantikan kenderaan lama yang sudah digunakan berbelas-belas tahun dan sudah uzur untuk penugasan Op Had Laju, Op Samseng Jalanan, Op Kenderaan Perdagangan, Op Mabuk dan lain-lain operasi yang dijalankan unit trafik.

“Kenderaan Mitsubishi Outlander 2.4cc yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan lengkap ini mempunyai tujuh beg udara, ABS, ASC, EBD, kawalan cengkaman dan Kestabilan (ASTC), bantuan pendakian dan Perakam Video Digital (DVR) dapat memantapkan lagi penugasan Unit Penguatkuasa Highway Mobile Petrol Vehicle (HMPV) Trafik bagi tugas Rondaan Cegah Kemalangan dan Penguatkuasaan kesalahan lalu-lintas trafik,” katanya.

Berita berkaitan

'Dia jerit rompak...rompak' [METROTV]

Terkejut bunyi penggera

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 12:36pm
d