mutakhir

Agong bangga pelantikan ramai hakim wanita

Oleh BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap dan mengurniakan suratcara pelantikan kepada sembilan hakim dengan lima daripadanya adalah hakim wanita.

Dalam istiadat berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rohana Yusof menerima suratcara pelantikan sebagai Presiden baharu Mahkamah Rayuan.

Tiga lagi hakim Mahkamah Rayuan ialah Datuk Zaleha Yusof, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan sementara Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hadhariah Syed Ismail pula sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, turut dilantik hari ini sebagai Hakim Mahkamah Rayuan ialah Datuk Abu Bakar Jais dan Nantha Balan a/l E.S. Moorthy yang kedua-duanya ialah Hakim Mahkamah Tinggi.

Turut dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi ialah Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah dan Datuk Azmi Abdullah yang kedua-duanya Pesuruhjaya Kehakiman.

Antara yang turut hadir menyaksikan istiadat itu Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan perasaan bangga Seri Paduka dengan pelantikan ramai hakim wanita yang mencerminkan usaha dan keprihatinan pentadbiran negara dalam mengetengahkan pembabitan golongan wanita dalam bidang kehakiman.

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 2:24pm
d