mutakhir

Nelang sungguh binimu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

HANYA kerana tidak menuruti kemahuan isteri yang menyuruhnya menjual besi buruk, seorang lelaki bukan hanya dipukul dengan penyodok sampah dan bateri kereta malah dihentak kepala menggunakan tukul besi di sebuah rumah di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berusia 42 tahun menerima enam jahitan di kepala selain calar di belakang badan, bahu dan lengan.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di rumah sebelum wanita berusia 35 tahun meminta suaminya menjual besi buruk namun mangsa enggan sehingga berlaku pertengkaran.

Katanya, pasangan itu pada awalnya sekadar bertikam lidah sebelum wanita itu yang gagal mengawal perasaan bertindak melemparkan bateri kereta ke arah mangsa.

“Wanita itu yang masih tidak berpuas hati bertindak mengambil penyodok sampah lalu memukul belakang badan mangsa selain turut membaling tukul besi ke arah mangsa.

“Dalam kekecohan itu, mangsa melarikan diri lalu mendapatkan bantuan jiran untuk membuat laporan polis.

“Susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Kuala Terengganu, isterinya ditahan di rumah mereka kira-kira jam 1.30 tengah hari,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan wanita itu direman selama tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 3:03pm
d