mutakhir

Sedia program pemuliharaan drastik gajah Borneo

Oleh Norasikin Daineh

SEJAK 2010, sebanyak 145 gajah terbunuh dengan kebanyakan kematian berlaku di kawasan ladang sawit atau hutan simpan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, peningkatan konflik manusia-hidupan liar turut dilaporkan bagi beberapa tahun ini khususnya ketidakseimbangan kritikal terhadap penggunaan tanah untuk habitat hidupan liar dan aktiviti manusia.

“Ini amat jelas berdasarkan perkara yang berlaku terhadap populasi gajah Borneo yang mana 145 ekor dilaporkan terbunuh antara 2010 sehingga 2019.

“Separuh daripada kematian disebabkan luka akibat tembakan atau disyaki akibat keracunan, manakala selebihnya tidak dapat dikenal pasti punca kematiannya,” katanya dalam ucapan pada perasmian Mesyuarat Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam dan Sumber Asli (IUCN) - Kumpulan Pakar Gajah Asia (AsESG) 2019 di Kota Kinabalu, hari ini.

Ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, belum terlambat untuk semua pihak mengadakan program pemuliharaan bagi menyelamatkan gajah Borneo.

“Kita tidak boleh teragak-agak untuk melakukan program pemuliharaan yang drastik dan harus mempunyai landskap mampan untuk menggalakkan pembiakan populasi gajah di Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap melalui mesyuarat itu dapat membincangkan secara terbuka dan mencari jalan penyelesaian untuk menangani kematian gajah yang semakin meningkat.

“Kita bersama dengan pakar gajah Asia yang terdiri daripada saintis, pakar hidupan liar yang membuat penyelidikan, pemantauan dan pemuliharaan dengan matlamat untuk mempromosikan pemuliharaan gajah Asia.

“Melalui perkongsian pengalaman, kesilapan dan percubaan terbaik terhadap pemuliharaan gajah dan pengurusan konflik manusia serta hidupan liar, saya harap ini sebagai peluang untuk memberi sokongan teknikal dan nasihat mengenai pemuliharaan jangka panjang bagi gajah Borneo di Sabah,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media, Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, Santuari Hidupan Liar Kinabatangan yang diwartakan mempunyai keluasan sebanyak 25,000 hektar, sesuai untuk habitat binatang itu.

“Saiz koridor makanan gajah yang dicadangkan akan ditentukan mengikut keperluan penanaman makanan untuk gajah di tempat perlindungan yang khusus itu.

“Jika perlu, kita boleh menanam makanan gajah di kawasan itu sebagai koridor makanan gajah,” katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 3:11pm
d