mutakhir

Rampas 500 karton arak 'haram'

Oleh Fardy Bungga

TIGA individu termasuk pengurus restoran berusia 63 tahun ditahan bersama 500 karton minuman keras dalam operasi bersepadu Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kota Marudu, hari ini.

Dalam operasi 12 tengah hari itu, dua lagi yang ditahan adalah pekerja restoran berusia 18 dan 19 tahun yang didapati bersekongkol menjual minuman tanpa cukai itu kepada orang ramai.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi dijalankan hasil maklumat Unit Risik Marin (URM).

Katanya, premis itu yang beroperasi di One Marudu Commercial Centre didapati menjual minuman keras yang tidak bercukai dan berlesen.

“Pemeriksaan menemui minuman itu di stor premis selain dijual kepada pelanggan. Antara yang dirampas daripada jenama dikenali, selain barang peribadi suspek,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

Katanya, semua barangan yang dirampas dianggar bernilai RM 105,544 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d), Akta Kastam 1967 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 4:07pm
d