mutakhir

Polis terima 25 laporan tipu pakej umrah, haji

Oleh Mohd Sabran Md Sani

POLIS menerima sebanyak 25 laporan berkaitan kes penipuan pakej umrah dan haji membabitkan sebuah syarikat umrah di Kota Tinggi dengan pembayaran berjumlah RM322,493.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, laporan itu diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi membabitkan syarikat yang dimiliki individu berusia 40-an.

Katanya, syarikat berkenaan didakwa gagal menguruskan pakej umrah dan haji daripada 48 mangsa di daerah ini.

“Pemilik syarikat turut gagal menguruskan visa bagi pakej umrah dan haji sebagaimana dijanjikan kepada semua individu yang menyertai pakej berkenaan.

“Mangsa juga membuat laporan polis di beberapa kontinjen lain seperti Pahang, Perak dan Kedah,” katanya ketika mengesahkan kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu.

Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam membuat pemilihan pakej umrah dan memilih agensi yang berkeupayaan untuk melaksanakannya.

Harian Metro kelmarin melaporkan pelbagai alasan tidak munasabah diberikan kepada 53 mangsa selepas mereka membayar sejumlah RM2.1 juta, namun gagal menunaikan ibadah haji.

Difahamkan semua mangsa sepatutnya bertolak ke Tanah Suci Ogos lalu selepas dijanjikan sindiket yang mendakwa sebagai agensi pelancongan terkemuka.

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 5:19pm
d