mutakhir

'Ahli sabotaj Kongres Nasional PKR akan dipecat'

Oleh BERNAMA

AHLI PKR yang cuba mensabotaj Kongres Nasional PKR dan hadir pada himpunan berasingan akan dikenakan tindakan tegas termasuk pemecatan, kata presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, percubaan untuk merosakkan semangat perpaduan dan tindakan sabotaj adalah satu kesalahan besar.

“Setakat ini tidak ada apa-apa (kongres berasingan). Ada percubaan kecil.

“Saya nak jelaskan sejak tiga hari lalu 83 peratus perwakilan janji akan hadir ke Melaka (Kongres Nasional) dan kalau ada sekali pun, hanya sekitar 10 peratus (ke kongres berasingan).

“Saya harap tidak ada dan kalau wujud dan diteruskan mana-mana pemimpin (ahli) yang hadir akan dipecat,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat rancangan untuk mengadakan satu himpunan di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu dan Ahad ini iaitu tarikh sama dengan Kongres Nasional PKR di Melaka.

Anwar berkata, tumpuan sekarang ialah untuk memperkukuhkan parti dan mengikat parti dengan agenda perjuangan rakyat.

“Saya sangat syukur dan terkesan kerana apa persepsi negatif terhadap kongres sudah berlalu seperti saya sebut dalam ucapan akhirnya parti itu akan kukuh dan saya dapat memimpin satu parti utuh.

“Sekarang masalah rakyat banyak keluhan dan rintihan mereka yang perlu kita selesaikan bukan percaturan politk...ini nampaknya dah dipersetujui bersama.

“Parti ini hanya forum untuk kita ketengahkan isu rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pertemuan antara beliau dengan timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam adalah pertemuan biasa dan ia berjalan dalam suasana baik dan positif.

“Pertemuan (itu) biasa seperti mana timbalan presiden hadir mesyuarat khas dan beliau kemukakan beberapa pandangan...mesyuarat itu biasa dan suasana baik dan positif,” katanya.

Semalam, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil selepas mesyuarat khas biro politik parti itu berkata, perasmian kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan wanita akan dilakukan Mohamed Azmin manakala penutup oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Pengerusi Lembaga Penasihat PKR.

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 5:32pm
d