mutakhir

Wanita 'pukau' didakwa

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

WANITA dipercayai menggunakan teknik pukau untuk mencuri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tiga pertuduhan mengambil harta, mencuri dan menyimpan harta curi, bulan lalu.

Tertuduh, Siti Rohani Ahmad, 37, yang juga penganggur mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Siti Rohani didakwa mencuri telefon bimbit Samsung Galaxy A 10S milik Nur Hazrin Mohd Hasrol, 14, di KM Plaza pada jam 5.30 petang, 27 November lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan pilihan pula, dia didakwa secara tidak jujur menyimpan harta curi milik mangsa di kedai makan Terminal One jam 7 malam, pada 28 November lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Mahyun Yusof membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, Siti Rohani didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mengambil seutas gelang emas milik Azizah Othman, 63, di pusat beli-belah Palm Mall, jam 9.15 pagi, pada 26 November lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Majistret V Vanita, membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 Disember ini.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mas Syafiqah Mahroob dan Jiwan Kaur Malkith Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 5:15am
d