mutakhir

Peniaga mula bersih kedai

Oleh Syaherah Mustafa

PENIAGA di pekan Rantau Panjang mula membersihkan kedai sejak selepas banjir sejak Ahad lalu, mulai surut, semalam.

Tinjauan semalam juga mendapati semua laluan untuk ke pekan Rantau Panjang sudah boleh dilalui dan beberapa peniaga sudah memulakan operasi perniagaan mereka.

Peniaga, Kamarudin Che Wok, 48, berkata dia dan isteri, Hayati Che Kob, 44, sudah mula membersihkan kedai pakaian miliknya.

Dia yang sudah lebih 20 tahun berniaga di situ mengakui sudah biasa menghadapi banjir memandangkan hampir setiap tahun bah melanda pekan terbabit.

“Tiga hari sebelum air melimpah ke dalam pekan ini, kami sudah bersiap sedia mengangkat barangan jualan ke atas para khas untuk menyimpan baju dan pakaian.

“Biarpun sudah membuat persediaan rapi, masih ada barangan yang terjatuh ke dalam air mungkin kerana arus air yang deras tetapi, Alhamdulillah banyak barang jualan yang terselamat.

“Hari ini, kami akan mula berniaga lagipun air memang sudah surut sepenuhnya selain semua jalan masuk ke pekan ini sudah boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga beg, Khatijah Alwi, 57, bersyukur kerana sudah dapat kembali berniaga selepas hampir seminggu tidak dapat berbuat demikian.

“Namun begitu, saya masih dalam keadaan berjaga-jaga kerana biasanya banjir di sini mengalami tiga gelombang dan yang baru berlaku ini ialah gelombang pertama.

“Saya berharap orang ramai tidak takut dan kembali mengunjungi pekan ini memandangkan air sudah surut sepenuhnya. Saya juga rindu dengan kemeriahan pengunjung ke sini,” katanya.

Akhbar pada Ahad lalu melaporkan pekan Rantau Panjang lumpuh selepas dinaiki air sehingga satu meter yang menjejaskan aktiviti perniagaan.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 10:18am
d