mutakhir

Cerita gembira tiga pesakit

Oleh Suliati Asri

INSIDEN jatuh dari kerusi ketika berusia 12 tahun menjadi penyebab Ng Sau Wan, 58, menderita Bilateral Hip Osteoarthritis di usia lanjut hingga membataskan pergerakannya.

Sau Wan juga tidak tidur lena selama sembilan tahun kebelakangan ini kerana menanggung kesakitan yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Penderitaannya kini berakhir selepas melakukan pembedahan memasukkan sendi pinggul tiruan primary total hip arthroplasty (hybrid).

Lebih menggembirakan Sau Wan kerana menerima bantuan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), sekali gus membolehkannya melakukan pembedahan dengan segera.

Kelegaan turut dirasai suaminya, Yee Ah Sang, 61, yang setia menemaninya termasuk sama-sama berjaga malam andai rasa sakit itu melanda.

Kata Sau Wan, sebelum ini dia enggan menjalani pembedahan dan sanggup menahan kesakitan kerana takut dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku selepas pembedahan di samping perlu melakukan dua pembedahan iaitu memasukkan serta mengeluarkan sendi pinggul tiruan.

“Kos pembedahan di hospital swasta yang mahal mencecah lebih RM30,000 sekitar sembilan tahun lalu juga menjadi sebab saya sanggup menanggung derita.

“Namun, selepas mengetahui mengenai PeKa B40, saya merujuk kepada doktor pakar di Hospital Shah Alam dan gembira boleh melakukan pembedahan sekali saja dan kos ditanggung oleh PeKa B40,” katanya yang selesai menjalani pembedahan September lalu.

PeKa B40 adalah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Ia ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah yang dikenali sebagai Kumpulan B40.

Ketua Komunikasi Strategik PeKa B40, Khairul Faizi Dalaiil berkata, PeKa B40 memberikan empat manfaat iaitu saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

Katanya, terdapat 10 alat perubatan yang boleh dipohon iaitu stent untuk jantung, alat sendi tiruan, alat bantuan pendengaran, perentak jantung, prostesis dan implan untuk tulang belakang, prostesis dan ortosis tulang anggota, kanta mata intraocular untuk pesakit katarak, alat terapi pernafasan dan mesin oksigen, bantuan sokongan nutrisi serta kerusi roda yang diubah suai mengikut keadaan pesakit.

“Melalui manfaat bantuan alat perubatan, penerima akan menerima bantuan dengan had maksimum RM20,000 terhad kepada kategori tertentu di hospital KKM.

“Insentif melengkapkan rawatan kanser, sebanyak RM1,000 dibayar kepada pesakit yang melengkapkan rawatan di hospital KKM dan bayaran secara berperingkat bergantung kepada tahap rawatan manakala insentif tambang pengangkutan diberikan dengan had maksimum RM500 bagi Semenanjung serta RM1,000 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan bagi setiap penyakit.

“Sau Wan menerima tiga manfaat terdiri daripada saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan (sendi pinggul tiruan) bernilai RM7,000 dan insentif tambang pengangkutan berjumlah RM26 setakat ini,” katanya.

Selain bersyukur dan gembira di atas pengakhiran derita yang dialaminya, Sau Wan menasihati mereka terutama golongan yang memerlukan memohon PeKa B40 bagi meringankan beban terutama membabitkan kesihatan sepertinya.

“Prosesnya mudah dan semuanya diuruskan oleh doktor yang merawat di hospital. Kini sakit yang saya tanggung selama ini sudah hilang. Kos pembedahan juga percuma,” katanya.

Sementara itu, Saudah Ahmad, 68, mampu menarik nafas lega selepas dimaklumkan doktor di Hospital Shah Alam, yang beliau boleh memperoleh bantuan alat perubatan (sendi lutut tiruan) bernilai RM6,500.

“Sejak empat tahun lalu, saya sering sakit kaki, tetapi tidak mengambil berat hal itu kerana ia akan hilang apabila saya mengambil ubat tahan sakit.

“Tapi sakit yang dialami benar-benar tidak dapat tertahan lagi hingga saya mengambil keputusan untuk berjumpa doktor di hospital dan ternyata hasil pemeriksaan x-ray menuntut saya untuk melakukan pembedahan,” katanya.

Pada mulanya Saudah mahu melakukan pembedahan, tetapi kosnya mahal dan meminta cadangan doktor untuk rawatan alternatif termasuk suntikan gel pada lutut.

Katanya, ketika itulah doktor mencadangkan memohon PeKa B40 bagi meringankan beban.

“Doktor juga yang menguruskan segala-galanya dan proses kelulusannya juga sangat cepat, sekali gus membolehkan saya melakukan pembedahan dengan segera,” katanya.

Saudah menerima dua manfaat iaitu saringan kesihatan percuma serta bantuan alat perubatan bernilai RM6,500 dan kini menerima manfaat ketiga iaitu insentif tambang pengangkutan untuk melakukan rawatan lanjut terutama sesi fisioterapi di Hospital Shah Alam.

Sementara itu, Zainab Ahmad, 60, yang menghidap kanser rahim tahap 1, bersyukur layak memperoleh PeKa B40, sekali gus sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaannya terutama dalam melengkapkan rawatan kanser selain kos pengangkutan.

Katanya, proses permohonannya tidak berjalan lancar seperti mana penerima lain, tetapi akhirnya layak selepas melakukan saringan kesihatan di klinik kesihatan yang disenaraikan.

“Saya tidak membuat pemeriksaan di klinik kesihatan disyorkan kerana ketika itu ia masih belum dapat dilakukan dan doktor meminta melakukan saringan kesihatan di klinik swasta tanpa membayar apa-apa,” katanya.

Zainab mendapat rawatan awal di Hospital Selayang sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk melengkapkan rawatan kanser, radioterapi.

Dia yang kini tinggal bersama adik angkatnya di Batu Caves, Selangor menerima tiga manfaat iaitu saringan kesihatan percuma, insentif melengkapkan rawatan kanser berjumlah RM300 dan insentif tambang pengangkutan berjumlah RM50.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 10:18am
d