mutakhir

Wang tunai RM40,000 lesap dirompak

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KONTRAKTOR berputih mata apabila wang tunai RM40,000 untuk membayar gaji pekerja dirompak dua lelaki di Jalan Nusaria 11/1, Taman Nusantara, Gelang Patah semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku 3.30 petang ketika mangsa berusia 32 tahun baru membuat pengeluaran wang di sebuah bank.

Katanya, mangsa didatangi dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal dengan jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti ketika dia menuju ke keretanya yang diletakkan di tepi jalan berhampiran sebuah kedai serbaneka.

“Seorang suspek turun dari motosikal dan menghalang serta menahan mangsa dari memasuki keretanya.

“Secara tiba-tiba seorang daripada suspek mengeluarkan objek menyerupai pisau dan mengacukannya ke arah mangsa,” katanya.

Beliau berkata, suspek mengarahkan mangsa mengeluarkan semua wang serta barang dalam beg sandangnya.

“Bimbang dicederakan mangsa mengeluarkan semua barang dalam beg sandang itu.

“Suspek terus merampas beg sandang mangsa serta menarik rantai emas yang dipakai mangsa dan terus melarikan diri dengan menaiki motosikal terbabit,” katanya.

Beliau berkata, antara barang yang terdapat dalam beg sandang mangsa adalah beg duit, kad pengenalan, lesen memandu, dua kad bank, dua kad kredit serta wang tunai RM40,000.

“Mangsa tidak cedera ketika kejadian. Bagaimanapun, tiada saksi nampak kejadian itu dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian akan diteliti,” katanya.

Menurut Dzulkhairi, pihaknya kini giat menjalankan usaha mengesan dan menahan suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompak bersenjata.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 10:57am
d