mutakhir

Tiga lelaki tenang ke tali gantung [METROTV]

Oleh Siti Azila Alias

DUA lelaki Iran dan seorang rakyat tempatan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di Georgetown, hari ini atas pertuduhan pindaan mengedar dadah jenis methamphetamine, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap J Balakrishnan, 63; Mohammad Abbasi Younes, 37, dan SeyedMohsen Namazikivaj Seyedreza, 31, di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh yang juga wanita rakyat tempatan, B Lacheme Devi, 56, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit selepas mahkamah mendapati wujud keraguan sama ada tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai dadah di lokasi kejadian.

Akhtar ketika membacakan keputusan itu berkata, mahkamah mengambil kira semua bukti dalam kes terbabit serta keterangan bersumpah daripada tertuduh yang jelas membuktikan mereka mempunyai pengetahuan mengenai kewujudan dadah berkenaan.

Katanya, bukti turut menunjukkan ketiga-tiga mereka berada di lokasi dan tahu mengenai penghasilan dadah di lokasi terbabit.

“Selepas meneliti semua bukti dan keterangan bersumpah, mahkamah dengan ini mensabitkan tuduhan terbabit dan menjatuhkan hukuman mati ke atas ketiga-tiga tertuduh,” katanya.

Ketiga-tiga tertuduh kelihatan tenang sebaik keputusan terbabit dibacakan ke atas mereka.

Terdahulu, mengikut pertuduhan pindaan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dengan cara pembuatan dadah berbahaya jenis methamphetamine di premis bernombor 57 B, Perindustrian Kecil, Taman Sri Rambai, Seberang Perai Tengah pada 10.10 malam, 20 Ogos 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan hukuman sebat sehingga 15 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar dan Nurul Fatin Hussain.

Mohammad Abbasi dan SeyedMohsen Namazikivaj diwakili peguam Kitson Foong, manakala peguam A Ashok mewakili Balakrishnan dan Lacheme Devi diwakili peguam RSN Rayer.

Terdahulu, Farah Aimy memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman mandatori ke atas tertuduh.

Sementara itu, Foong memaklumkan barisan peguam yang mewakili tertuduh akan memfailkan rayuan hari ini terhadap keputusan mahkamah itu.

Ketiga-tiga tertuduh kelihatan tenang sebaik keputusan terbabit dibacakan ke atas mereka.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 2:21pm
d