mutakhir

Kantoi akhirnya...

Oleh Fardy Bungga

SEPULUH lelaki ditahan dalam operasi ‘Op Ice Breaker’ yang dijalankan di kawasan Kampung Likas, semalam.

Operasi dari 11 pagi hingga 6 petang itu menumpukan kawasan sekitar yang dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti penyalahgunaan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, operasi khas itu membabitkan 12 pegawai dan 136 anggota pelbagai jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, dalam operasi itu, 101 individu termasuk tiga wanita ditahan untuk pemeriksaan ujian saringan air kencing.

“Hasil ujian itu, 10 lelaki membabitkan tujuh warga tempatan dan tiga warga asing ditahan selepas didapati positif dadah.

“Operasi turut berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khalil berkata, polis turut merampas 9.60 gram syabu dianggarkan bernilai RM,1440 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Sehubungan itu, Mohd Khalil berkata, operasi seumpama ini akan diadakan berterusan dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah daripada berleluasa.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti jenayah dadah juga diminta menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan segera.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 5:28pm
d