mutakhir

Muka alim, tapi...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BERLAGAK alim untuk menjerat dan menipu mangsa. Itu taktik licik digunakan lelaki warga Bangladesh bagi menjerat mangsa untuk menyertai skim pelaburan penukaran mata wang asing atau forex dalam talian dikendalikannya.

Seorang daripada mangsa, Azhar Mohamed Arshad Mohamed, 39, berkata, dia mengenali lelaki berusia lingkungan 20-an berkenaan sejak tiga tahun lalu selepas mengambilnya bekerja di restoran miliknya di Bandar Tasik Puteri, di Rawang.

“Walaupun dia sudah berhenti kerja pada tahun lalu, namun saya masih berhubung dengannya memandangkan dia mempunyai perwatakan warak menyebabkannya disukai ramai.

“Saya memang sudah lama tahu bahawa lelaki itu ada menjalankan aktiviti pelaburan forex sebelum ini, namun saya hanya menyertainya pada Februari lalu selepas beberapa kali ditawarkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhar berkata, lelaki itu berjanji akan memberikan sebahagian daripada ribuan ringgit pelaburan diberikan kepadanya pada setiap bulan.

“Bagaimanapun, lelaki itu hanya memberikan suku daripada jumlah pelaburan bermula Mac hingga Oktober lalu. Malah pada bulan lalu, tiada bayaran (keuntungan pelaburan) diberikannya kepada saya.

“Saya hanya menyedari ditipu lelaki berkenaan selepas lelaki itu mula tidak dapat dihubungi pada bulan lalu sehingga kini. Malah, saya dimaklumkan ramai individu lain turut sedang mencarinya,” katanya.

Katanya, ramai mangsa penipuan lelaki terbabit tampil selepas dia memuat naik status mengenai perkara itu di media sosial, beberapa hari lalu.

“Saya difahamkan lebih 10 mangsa membabitkan kerugian kira-kira RM150,000 di Bandar Tasik Puteri menjadi mangsa penipuan lelaki itu.

“Selain itu, ada juga mangsa dari Sungai Buloh serta Shah Alam memaklumkan ditipu lelaki sama,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Bandar Tasik Puteri, Rawang, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe ketika dihubungi, di sini, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Setakat ini, kami menerima tiga laporan berhubung kes penipuan membabitkan lelaki warga Bangladesh berkenaan dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM38,000.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 5:37pm
d