mutakhir

Fasa kedua misi Muslim Care bermula [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling melaporkan dari Cox’s Bazar

SELEPAS selesai memberi latihan kepada pelarian di kem Hakim Para, misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia (Muslim Care) masuk ke fasa kedua hari ini.

Sebanyak 200 selimut akan diserahkan pelajar di pusat pengajian Islam di sekitar Kem Kutupalong dan kawasan berdekatan dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan tempatan.

Timbalan Presiden Muslim Care Mohd Johari Ismail berkata, ia diputuskan dalam perbincangan hari ini sebaik delegasi dari Malaysia tiba dari Dhaka.

Menurutnya, inisiatif itu juga diambil atas permintaan NGO tempatan yang meminta bantuan selimut untuk digunakan pelajar madrasah di situ.

“Ia sebagai program susulan Muslim Care selepas kita selesai melatih ‘bidan’ kampung beberapa hari lalu.

“Kita dapati memang ada keperluan untuk membantu saudara kita. Selain itu kita juga akan melawat pelarian bersama anak yang baru dilahirkan untuk memberikan bantuan susulan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun 564490413882 (Maybank), 14014010147470 (Bank Islam) atau 14010007654717 (Bank Muamalat).

Sementara itu, sukarelawan Muslim Care Abdul Hadi Ismail berkata, kunjungan kali pertama ke penempatan pelarian memberikan perspektif berbeza daripada apa yang pernah dibaca menerusi media sebelum ini.

Menurutnya, hadir perasaan syukur dan insaf dengan penderitaan dialami pelarian yang mengharapkan bantuan antarabangsa semata-mata.

“Saya berterima kasih kepada Muslim Care atas kesempatan ini dan berharap ia dapat dijadikan pedoman untuk kerja kemanusiaan selepas ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 7:31pm
d