mutakhir

Lelaki rentung, tangki diesel lori meletup

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PEKERJA kimpalan rentung manakala rakannya cedera selepas tangki diesel sebuah lori meletup ketika kerja kimpalan sedang dilakukan di Jalan Semambu di Kuantan hari ini.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, Lai Hoy Shin, 45, maut di lokasi kejadian manakala rakannya, Nur Kabir Abdul Hussein, 25, cedera di tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusod Ali berkata, berdasarkan keterangan Nur Kabir, letupan itu berlaku ketika dia bersama Lai sedang membuat kerja kimpalan tangki diesel lori itu.

“Mangsa tidak sedarkan diri manakala Nur Kabir cedera di tangan kerana letupan itu.

“Nur Kabir mendakwa sudah cuba membantu rakannya sejurus kejadian tetapi gagal disebabkan api marak secara tiba-tiba dan menyambar badang mangsa sebelum dia menghubungi pihak bomba,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, pihak bomba yang tiba 15 minit kemudian berjaya memadamkan kebakaran sebelum menemui mangsa dalam keadaan rentung.

“Siasatan awal pihak bomba mendapati mangsa pengsan terlebih dulu kerana letupan itu sebelum api menyambar keseluruhan badan mangsa,” katanya.

Mohamad Noor berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

Katanya, kejadian itu juga sudah dimaklumkan kepada keluarga mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 10:01pm
d