mutakhir

55,252 diusir

Oleh Skuad Khas Harian Metro

SERAMAI 49,193 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara sejak Januari lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan berterusan di kawasan tumpuan warga asing di seluruh negara.

“Buktinya, statistik JIM dari Januari hingga 5 Disember lalu merekodkan seramai 49,193 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan hasil pemeriksaan terhadap 194,316 warga asing dalam 16,594 operasi yang dilakukan pihaknya.

“Selain warga asing, JIM juga menahan 1,216 majikan kerana menggaji atau melindungi pendatang asing,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro, semalam.

Memperincikan statistik penahanan itu, Khairul Dzaimee berkata, Selangor mencatatkan jumlah penahanan warga asing paling tinggi iaitu 6,386 orang.

“JIM Wilayah Persekutuan Putrajaya pula menahan 6,197 pendatang diikuti 5,500 di Johor. JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula menahan 4,562 orang, Sabah (3,930), Negeri Sembilan (3,160), Sarawak (2,932), Pahang (2,817), Perak (2,511), Pulau Pinang (2,454), Kedah (2,341), Terengganu (2,405), Melaka (2.049), Kelantan (1,156), Perlis (464) dan Labuan (229),” katanya.

Dalam perkembangan sama, sehingga 4 Disember lalu JIM merekodkan pengusiran seramai 55,252 warga asing.

Ia membabitkan 22,689 warga Indonesia, Bangladesh (8,805), Myanmar (5,619), India (3,675), Thailand (3,879), Vietnam (3,533), Pakistan (1,700), China (1,479), Nepal (885), Nigeria (696) dan lain-lain (2,292).

Sumber memberitahu Harian Metro bahawa bukan semua warga asing yang dilihat bergerak bebas di kawasan tertentu di seluruh negara adalah pendatang haram.

“Sebaliknya dalam operasi dilakukan imigresen menemui warga asing yang mempunyai pas jangka panjang, mereka (warga asing) berkahwin dengan penduduk tempatan dan pelajar,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, Malaysia diibaratkan syurga pendatang rentetan lambakan kumpulan warga asing terbabit yang bukan sahaja menguasai lokasi strategik sekitar Lembah Klang termasuk ibu kota, malah bebas menjalankan perniagaan sah dan haram.

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 5:30am
d