mutakhir

Mat Sabu, Salahuddin kekal jawatan AMANAH

Oleh Mohd Hilmie Hussin

MOHAMAD Sabu dan Datuk Seri Salahuddin Ayub, masing-masing mengekalkan kedudukan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) bagi sesi 2019-2022.

Keputusan sebulat suara, yang sudah dijangka itu diumumkan pada Konvensyen Parti Amanah Nasional (Amanah) 2019 di Shah Alam, hari ini.

Speaker Amanah, Onn Jaafar mengumumkan keputusan yang diperoleh daripada mesyuarat 27 ahli Jawatankuasa Kepimpinan Amanah Nasional yang baru dilantik, yang bermesyuarat dari 10.30 malam hingga 2 pagi tadi, di sini.

Terdahulu, Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Amanah Nasional, dibuat secara musyawarah oleh 27 ahli Jawatankuasa Kepimpinan Amanah Nasional yang dipilih melalui proses pemilihan parti.

Selain Mohamad atau Mat Sabu yang juga Menteri Pertahanan dan Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Onn turut mengumumkan bahawa Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar sebagai Naib Presiden 1, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai Naib Presiden 2 dan Naib Presiden 3 kekal disandang Datuk Hasanuddin Mohd Yunos.

Semalam, 822 perwakilan Amanah Nasional seluruh negara mengundi menerusi sistem e-voting bermula 9.45 malam dan berakhir 10.30 malam.

Undian itu membabitkan 94 calon yang berentap pada pemilihan Jawatankuasa Amanah Nasional untuk sesi 2019-2022 yang turut merebut jawatan speaker, timbalan speaker, juruaudit termasuk 27 jawatan ahli jawatankuasa(AJK).

SENARAI JAWATANKUASA TERTINGGI AMANAH NASIONAL:

• Presiden: Mohamad Sabu

• Timbalan Presiden: Datuk Seri Salahuddin Ayub

• Naib Presiden 1: Datuk Mahfuz Omar

• Naib Presiden 2: Datuk Seri Dr Mujahid Yusof

• Naib Presiden 3: Datuk Hasanuddin Mohd Yunos

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 11:07am
d