mutakhir

Kekasih kantoi pecah tabung masjid

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

TINDAKAN lelaki memecah tabung di Masjid Haji Isa Kampung Gong Duek, Pasir Akar, Jertih dengan ditemani kekasihnya gagal apabila perbuatan mereka disedari penduduk.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berlaku 11 malam kelmarin apabila penduduk yang tinggal berhampiran masjid terdengar bunyi ketukan besi sebelum segera ke kawasan masjid terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya bersama rakan.

“Apabila sampai di kawasan masjid dia ternampak lelaki mencungkil tabung masjid menggunakan tukul besi berhampiran tandas.

“Tanpa berlengah, mereka menahan suspek dan kemudian datang seorang wanita yang sebelum itu berada dalam Perodua Myvi sebelum mengaku isteri suspek.

“Selepas disoal beberapa kali, wanita itu akhirnya mengaku dia teman wanita lelaki itu sebelum penduduk menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, saringan ujian air kencing kedua-duanya positif Methamphetamine.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek lelaki berusia 53 tahun mempunyai lapan kesalahan lampau berkaitan kes dadah manakala suspek wanita berusia 40 tahun juga mempunyai satu rekod kesalahan dadah sebelum ini.

“Susulan penahanan suspek, polis merampas Perodua Myvi hijau, rantai kunci dan tukul besi,” katanya.

Katanya, kedua-duanya direman untuk siasatan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

Sementara itu, seorang ahli kariah masjid yang enggan dikenali berkata, tabung masjid yang cuba dipecahkan itu berada di luar bangunan masjid.

“Kebiasaannya jumlah wang dalam tabung di situ tidak banyak kerana jemaah lebih suka memasukkan duit ke tabung di dalam masjid.

“Sebelum ini kes kecurian kerap berlaku di masjid ini, tetapi selepas kamera litar tertutup (CCTV) dipasang, kes kecurian semakin berkurangan,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 11:10am
d