mutakhir

Tumpang masjid lari dari banjir

Oleh Siti Rohana Idris

SUDAH seminggu warga emas, Rakiah Deris, menghuni Masjid Mukim Kubang Sawa selepas ‘melarikan diri’ dari banjir yang melanda kampungnya di Kuala Jambu, Tumpat.

Rakiah, 78, yang terlantar akibat jangkitan kuman di bahagian paru-paru menumpang di masjid itu sejak Ahad lalu selepas air Sungai Golok melimpah memasuki beberapa kampung di Pengkalan Kubor.

Anaknya, Che Rahmah Che Sulaiman, 59, berkata, ibunya baru saja dibenarkan pulang ke rumah selepas dua minggu menerima rawatan di Hospital Tumpat sebelum banjir melanda kampung.

“Ketika emak tiba sebaik pulang dari hospital, air sudah hampir masuk ke dalam rumah menyebabkan kami mengambil keputusan bergegas ke masjid yang menjadi lokasi tahunan untuk kami berpindah.

“Kami enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan kerana tidak selesa lebih-lebih lagi keadaan emak yang terlantar begini agak sukar untuk diuruskan di tempat sesak,” katanya ketika ditemui di Masjid Mukim Kubang Sawa.

Selain keluarga Rakiah lima beranak, masjid yang kelihatan seperti pulau kerana digenangi air sedalam 1.5 meter itu turut dijadikan tempat berlindung bagi 35 mangsa daripada lima keluarga.

Difahamkan sehingga hari ini, Kampung Kubang Sawa, Bendang Pak Yong, Simpangan, Kuala Jambu, Palas Merah dan beberapa kampung sekitar masih digenangi air kira-kira 0.8 meter disebabkan banjir termenung.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) yang turut memberikan bantuan makanan serta rawatan kesihatan percuma.

Ketua Koordinator IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata, pasukannya memulakan misi menghantar ubat dan memberikan rawatan percuma sejak Isnin lalu bermula di Besut, Terengganu diikuti Pasir Mas seterusnya Tumpat.

“Tiga doktor, dua pembantu farmasi serta lapan sukarelawan terbabit dalam misi ini dan selain pusat pemindahan sementara (PPS), kami juga singgah di lokasi lain yang dijadikan tempat pemindahan oleh mangsa banjir.

“Selain klinik bergerak, kami juga mengagihkan kit kebersihan serta mengadakan bantuan kecemasan awal psikologikal kepada mangsa,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 12:26pm
d