mutakhir

'Bantuan ini besar maknanya'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“BANTUAN ini besar maknanya terutama kepada anak-anak yang ada masalah jantung,” kata atlet paralimpik, Muhammad Hafiz Abu Bakar, 36, ketika menyertai Program Larian dan Kayuhan Amal ‘UTM Charity Run and Ride’ di Johor Bahru, hari ini.

Muhammad Hafiz antara dua keluarga kanak-kanak jantung berlubang yang dijemput menerusi program amal membabitkan kerjasama antara Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) dan UTM, Skudai.

Katanya, anak tunggalnya, Nur Iman Qaisara, 7, disahkan menghidap penyakit jantung berlubang selepas mereka sekeluarga pulang menunaikan umrah pada November 2017.

“Ketika itu Nur Iman Qaisara yang berusia lima tahun kerap mengalami deman dan selesema, selain kerap berdepan keadaan itu tiga kali sebulan.

“Saya dan isteri kemudian membawa anak kami berjumpa doktor pakar dan ketika itu terdapat ‘getaran’ pada jantungnya, sebelum pemeriksaan mengesahkan terdapat satu lubang saluran oksigen ke jantung dalam keadaan terbuka,” katanya berkongsi keadaan kesihatan anaknya itu.

Terdahulu Yayasan IJN menerima sumbangan dana berbentuk replika cek berjumlah RM540,000, masing-masing RM510,000 disampaikan Maybank Islamic Berhad dan RM30,000 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sumbangan berkenaan disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub.

Sumbangan RM510,000 itu bagi membantu membiayai kos rawatan 18 pesakit jantung tahun ini, manakala RM30,000 disalurkan ke dalam Tabung Bantuan Pesakit Jantung.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan) UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Salehuddin Hassan.

Program itu disertai kira-kira 400 peserta kalangan syarikat korporat, pelajar dan pensyarah UTM, Skudai, serta warga IJN, Kuala Lumpur.

Muhammad Hafiz berkata, dia kemudian membuat temujanji bersama IJN pada Disember 2017 sebelum prosedur pembedahan pertama dilakukan sehari sebelum Tahun Baru Cina, 2018.

Katanya, dia bersyukur kerana mendapat pembiayaan Yayasan IJN berjumlah RM20,000 hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk badan korporat.

“Alhamdulillah, sumbangan penderma memberi impak positif dalam kehidupan anak kami dan dapat menjalani kehidupan lebih selesa kini.

“Berbanding dua tahun lalu, keadaan kesihatan anak kami semakin baik dan positif, malah selaput jantungnya sudah tertutup kembali,” katanya yang hadir bersama isterinya, yang juga atlet paralimpik, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin, 27.

Sementara itu, suri rumah, Nurihan Isa, 27, berkata, anak sulungnya, Tuan Muhammad Syawal Fitri Tuan Mohamad Hafizul, 6, menerima manfaat menerusi Tabung Bantuan Pesakit Jantung.

Katanya, anak sulung daripada dua beradik itu dikesan mengalami masalah jantung berlubang ketika berusia empat bulan.

“Ketika itu, perkembangannya agak lewat berbanding kanak-kanak seusia, selain berat badannya juga menurun,” katanya.

Menurutnya, Tuan Muhammad Syawal Fitri pernah menjalani pembedahan pertama ketika berusia 14 bulan menerusi dana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM42,000.

Katanya, anak lelakinya itu dijangka menjalani pembedahan kedua pada tahun hadapan dengan kos terbabit dibiayai menerusi Tabung Bantuan Pesakit Jantung.

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 12:47pm
d