mutakhir

Sudah 24 jam padamkan api [METROTV]

Oleh Hasbi Sidek

DUA puluh empat jam diperuntukkan pasukan bomba untuk memadam kebakaran di kilang plastik dan kitar semula di Jalan Ribu 9 1/2, Kuala Sawah, Rantau dekat Seremban.

Kebakaran itu yang berlaku pada 3.30 petang semalam, hanya dapat dikawal pada 11.30 pagi hari ini dan sehingga 3 petang, api masih belum padam sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Nor Faizal Ahmad berkata, kilang itu berkeluasan keseluruhan 0.8 hektar dan menempatkan struktur bangunan dalam kawasan 0.2 hektar.

Katanya, pihaknya mendapat bantuan daripada BBP Seremban 2, Seremban dan Rembau yang menjadikan keseluruhan 43 pegawai dan anggota terbabit operasi itu.

“Kita menerima maklumat kebakaran pada 3.40 petang semalam dan pasukan BBP Rantau digerakkan dahulu, disusuli bantuan daripada BBP lain.

“Bahan mudah terbakar menyebabkan api merebak dengan pantas selain api pada bahan berkenaan sukar untuk dipadamkan.

“Operasi pemadaman dijalankan sebaik pasukan tiba, namun kebakaran hanya dapat dikawal pada 11.30 pagi tadi. Keseluruhan kilang itu musnah termasuk struktur bangunannya.

“Namun, tiada mangsa dilapor cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Faizal berkata, pihaknya kini sedang menjalankan proses ‘overhaul’ dengan bantuan jengkaut kerana bimbang api akan merebak semula khususnya dalam keadaan cuaca panas panas ini.

“Bahan plastik yang ada di kilang itu senang terbakar dan sukar untuk dipadamkan. Kita masih teruskan dengan proses overhaul untuk pastikan keadaan betul-betul selamat.

“Kebakaran dipercayai berpunca daripada timbunan plastik untuk dikitar semula. Bagaimanapun, punca sebenar akan disiasat sejurus proses pemadaman selesai,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 4:37pm
d