mutakhir

Balasan jantan gatal

Oleh Hannneeyzah Bariah Baharin

PENJAWAT awam di Terengganu ditahan polis semalam, selepas didakwa mencabul rakan sekerjanya ketika wanita itu mahu menunaikan solat.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada 3.40 petang semalam di tepi jalan di hadapan stesen teksi dekat Jalan Masjid Abidin, Kuala Terengganu.

Menurut sumber, mangsa berusia 39 tahun mendakwa sering menjadi mangsa gangguan seksual suspek di pejabat sejak tiga tahun lalu dengan kejadian terbaharu pada 26 November lalu.

Katanya, pada hari kejadian, mangsa mahu menunaikan solat Asar di sebuah bilik di pejabat mereka dan menyedari diekori suspek.

“Mangsa tidak sempat mengunci tombol pintu apabila suspek menerjah masuk menyebabkan mangsa mengarahkannya keluar bagi mengelak fitnah dan bimbang diapa-apakan.

“Suspek bukan sahaja tidak menghiraukan arahan mangsa sebaliknya bertindak mengunci pintu, menutup lampu dan meraba mangsa sebelum dia menjerit.

“Lelaki itu kemudian melarikan diri. Difahamkan ketika kejadian, pejabat itu sunyi berikutan ramai kakitangan bercuti, selain ada yang bertugas di luar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber berkata, suspek juga dikatakan pernah mengajak wanita itu melakukan seks, sengaja menyentuh tangan mangsa, selain mengunci pintu pantri di pejabat untuk berdua-duaan dengan mangsa.

“Ketika itu mangsa mendakwa pernah menghunus pisau bagi mempertahankan dirinya.

Mangsa juga tertekan dan terpaksa bercuti sakit sebelum nekad membuat laporan polis kelmarin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan penahanan suspek.

Beliau berkata, lelaki itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 5:48pm
d