mutakhir

Azmin dan 22 MPP keluar dewan [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

SERAMAI 22 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dari pasukan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan perwakilan meninggalkan sesi perbahasan Kongres Nasional PKR 2019 ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh hari ini.

Mohamed Azmin dalam sidang media tergempar berkata, tindakan meninggalkan sesi itu susulan berlakunya beberapa insiden yang membuka laluan kepada pembahas melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan pimpinan dan anggota PKR.

Menurutnya, insiden bermula dengan ucapan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengucapkan sorotan klasik mengenai kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar jelas membuka laluan kepada pembahas untuk terus melakukan serangan peribadi.

“Perbahasan oleh wakil yang dipilih secara berat sebelah juga dilihat tidak membawa suara anggota akar umbi, sebaliknya ucapan yang berlangsung hanya untuk mengangkat impian satu sosok dan menyerang serta melempar tohmahan kepada pimpinan lain.

“Penganugerahan yang berlangsung pagi tadi juga dilihat provokatif dan menafikan sumbangan besar pejuang PKR di peringkat akar umbi yang memerah keringat dan berkorban demi membangunkan parti keramat ini.

“Hal ini sekali gus memperlihatkan kegagalan Presiden untuk memenuhi janjinya bagi memastikan pembahas negeri patuh kepada perimeter ucapan yang dipersetujui bersama dalam satu mesyuarat khas 4 Disember lalu untuk menangani krisis kepemimpinan dalam parti berasaskan beberapa persetujuan,” katanya.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, antara perkara persetujuan yang dicapai sebelum ini adalah untuk mempertahankan tradisi dan konvensyen parti dalam Perasmian Bersama Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda dan Wanita PKR oleh Timbalan Presiden.

Perkara kedua katanya, adalah perbahasan oleh pembahas di pentas kongres hanya akan memberi tumpuan kepada isu dasar serta pengukuhan PKR dan memberi tumpuan untuk mengartikulasi hala tuju serta masa depan parti.

Turut dipersetujui kata beliau komposisi pembahas adalah adil mewakili semua pihak dengan jaminan membawa agenda parti.

“Pembahas juga tidak dibenarkan menyinggung, menyindir dan menyerang mana-mana pihak memandangkan ia akan menggasir objektif kongres.

“Waktu persetujuan itu, Presiden (Anwar) memberi jaminan bahawa semua pembahas akan mematuhi perimeter dan garis seperti dipersetujui.

“Namun harapan perwakilan dan pemerhati supaya ucapan dasar presiden pagi tadi memberi fokus kepada dasar dan hala tuju yang inklusif dan progresif ternyata meleset,” katanya.

Semua 22 MPP yang juga sebahagian besar wakil rakyat dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggalkan sesi itu adalah Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, Ali Biju, Haniza Mohamed Talha, Hilman Idham, Dr Daroyah Alwi, Baru Bian, Amirudin Shaari serta Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Turut sama Sivarasa Rasiah, Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah, Zakaria Abdul Hamid, Radzlan Jalaluddin, Datuk Dr Mansor Othman, Datuk Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, Datuk Seri R Santhara Kumar dan Lee Khai Loon.

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 6:00pm
d