mutakhir

Usah gugat keharmonian

Oleh BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam menitahkan supaya rakyat Malaysia bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi moden dan komunikasi alam maya.

Seri Paduka bertitah, kemajuan teknologi dan komunikasi tidak disalah guna dalam perkara yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negara.

“Perbuatan menyebar fitnah, berita palsu dan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian serta perpaduan negara adalah perbuatan terkutuk yang tidak bertanggungjawab.

“Saya menyeru sekalian rakyat lebih bertanggungjawab dan menghargai keharmonian negara. Teknologi moden sewajarnya dijadikan alat untuk kesejahteraan rakyat dan mencipta kejayaan, bukannya merosakkan negara,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen ke-6 DRB-Hicom University of Automotive Malaysia, Pekan, yang membabitkan 686 graduan yang menerima ijazah sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar, Naib Canselor DRB-Hicom University of Automotive Malaysia, Datuk Prof Dr Omar Osman, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan.

Mengenai kemajuan teknologi moden dan komunikasi alam maya, Al-Sultan Abdullah bertitah, institusi pengajian tinggi perlu melakukan pelbagai transformasi agar dapat menyediakan graduan menghadapinya.

Baginda bertitah, kehadiran teknologi membawa revolusi perindustrian keempat yang memberi impak kepada kehidupan dan landskap dunia masa hadapan yang mana teknologi dan sistem maklumat akan menggantikan manusia dalam pekerjaan.

“Institusi pengajian tinggi hendaklah menawarkan kursus pelbagai disiplin yang menjurus kepada teknologi dan menerapkan kemahiran inter-personal, komunikasi, kerja berpasukan dan kepemimpinan,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor universiti itu menyentuh mengenai kata semangat yang tertera pada dinding dewan itu dan menarik perhatian baginda kerana disifatkan sebagai pesanan yang baik.

Pesanan itu mengingatkan seseorang tidak berputus asa walaupun berdepan kegagalan sebanyak 100 kali kerana ia bermaksud wujud 100 kali peluang untuk mencuba dan inovasi dapat membawa kejayaan masa depan.

“Saya harap ini menjadi pedoman anak muda supaya tidak takut dengan kegagalan...sebaliknya lihat ia sebagai peluang untuk berjaya dengan lebih baik daripada yang kita ada sekarang,” titahnya.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan tahniah kepada graduan dan ibu bapa serta pengurusan universiti yang menyaksikan 18 graduan kumpulan pertama program Ijazah Sarjana menerima skrol mereka.

Disiarkan pada: December 8, 2019 @ 6:01am
d