mutakhir

Warga Australia terima sijil silat Lian Padukan

Oleh Norrasyidah Arshad

MINAT mendalam terhadap seni mempertahankan diri termasuk silat membuatkan seorang lelaki warga Australia sanggup menuntut ilmu sehingga ke negara ini.

Al-Hitham Ghoniem, 41, berkata, dia mempelajari gerak lincah silat Lian Padukan selepas tertarik dengan seni tradisi Melayu itu.

“Walaupun saya mempunyai kemahiran karate dan judo, tetapi semangat untuk mempelajari seni tradisi Melayu itu tetap tinggi.

“Jika dilihat, cara mempelajari gerak silat ini adalah mudah, namun ia mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya di majlis Ujian Penilaian Silat Lian Padukan Peringkat Kebangsaan, Klang, semalam.

Pada majlis berkenaan, Ghoniem menerima pengiktirafan gred daripada Persatuan Silat Lian Padukan Malaysia.

Kira-kira 300 ahli silat Lian Padukan berusia enam hingga 50 tahun turut dinilai dari tahap Jurus Pertama hingga Peringkat Lian 16.

Dalam pada itu, Ghoniem berkata, antara cabaran perlu dihadapinya selama mempelajari seni silat adalah aspek bahasa.

Bagaimanapun, katanya, dia mampu mempelajari semua jurus itu berkat kesabaran serta tunjuk ajar guru silatnya, Azhar Nawawi yang juga Pengerusi Lian Padukan Kapar.

Disiarkan pada: December 8, 2019 @ 6:15am
d