mutakhir

Azab dua jam

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

PEMANDU terpaksa menahan kesakitan lebih dua jam akibat tersepit selepas lori dipandunya terbabit dalam kemalangan berhampiran terowong Jalan Tun Razak, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.11 tengah malam.

Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dan BBP Keramat dengan kekuatan 13 anggota dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kita mendapati sebuah lori tiga tan dalam keadaan terbalik, manakala pemandunya dalam keadaan tersepit.

“Anggota bomba dan dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan mangsa lelaki yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Mangsa berjaya dikeluarkan jam 2.18 pagi dan dia yang parah di kedua-dua kaki dibawa dengan ambulans ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada: December 8, 2019 @ 8:41am
d