mutakhir

Anwar sedang diuji - Tian Chua

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang diuji bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah parti, malah memastikan parti berusia 20 tahun itu terus mempunyai hala tuju pada masa depan.

Naib Presiden PKR, Tian Chua menegaskan, sebagai pemimpin parti terbesar negara, Anwar juga diuji untuk menyelesaikan masalah ketegangan kaum dan jurang kemiskinan dalam negara yang mungkin akan menjadi krisis.

“Kalau parti tidak menyedari ini adalah misi kita, kita akan gagal terhadap semua tokoh-tokoh, semua pemimpin yang telah membina parti ini selama 20 tahun dulu.

“Bukan saya tak mahu angkat banner (plakad) seperti ini (Anwar PM8) kerana saya tak perlu angkat banner untuk tunjukkan kesetiaan saya,” katanya

dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Kongres Nasional PKR ke-14 di Melaka, hari ini.

Sidang kongres hari ini menyaksikan hanya Tian Chua daripada ‘kem’ Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin hadir.

Mengulas lanjut, Tian Chua berkata, masalah di dalam PKR bukanlah isu Perdana Menteri (PM) kelapan, sembilan ataupun 10 sebaliknya akan melihat mereka mempunyai penyokong yang semakin ekstrem.

“Penyokong yang makin ekstrem itulah bahayanya bagi parti kita menjadi parti pemerintah dan ini bukan pasal Anwar.

“Selepas Anwar, akan ada PM lain, Presiden lain jika kita nak jadikan parti ini yang menyokong pemimpin tanpa sebarang persoalan, saya rasa ia terpulang pada Anwar untuk berdepan dengan kita terhadap krisis.

“Saya akan tetap pertahankan kesucian parti kita dan kita mahu elakkan parti ini daripada menjadi parti yang tiada hala tuju selain daripada mengangkat pemimpin berkuasa,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2019 @ 1:15pm
d