mutakhir

61 pasangan bersanding ramai-ramai [METROTV]

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

SERAMAI 61 pasangan pengantin diraikan dalam majlis perkahwinan beramai-ramai, Walimatul Urus Rahmah Wilayah Persekutuan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini.

Pasangan berkenaan adalah terdiri daripada golongan asnaf, fakir, miskin, mualaf dan B40 yang bekerja atau berasal dari Wilayah Persekutuan.

Pasangan mualaf, Muhammad Aiman Bennet Abdullah, 37, dan Nur Sandhyalini Sumayyah Abdullah, 26, mengakui gembira dan cukup teruja kerana berpeluang merasai sendiri kemeriahan ‘kenduri kahwin’ masyarakat Melayu.

Menurut Muhammad Aiman, sebelum ini dia pernah menghadiri kenduri perkahwinan di kampung halamannya, di Miri, Sarawak, namun kali ini, dirinya sendiri yang diraikan tetamu.

Katanya, mereka berkahwin 30 September lalu di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan ketika mahu mengambil kad perkahwinan baru-baru ini, diberitahu mengenai majlis perkahwinan itu.

“Dengan sokongan kawan-kawan, kami membuat permohonan dan Alhamdulillah, terpilih.

“Keluarga tidak dapat hadir namun kehadiran keluarga angkat sedikit sebanyak memeriahkan lagi majlis bersejarah ini, “katanya ketika ditemui media di majlis berkenaan, hari ini.

Majlis berkenaan diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pertubuhan Amal dan Sukarelawan Batu (PASB), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) , Datuk Mohamad Nordin Ibrahim ; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, dengan adanya acara itu, pasangan pengantin berkenaan berpeluang merasai kemeriahan dan keseronokan melangsungkan majlis perkahwinan.

Katanya, ia juga memberi dorongan dan motivasi kepada masyarakat supaya meninggalkan gaya hidup tidak sihat dan mendirikan rumah tangga dengan ikatan perkahwinan.

“Setiap pasangan turut menerima set persalinan perkahwinan lengkap, penginapan untuk keluarga serta sagu hati barangan iaitu set telekung dan sejadah.

”Selain itu, pasangan raja sehari juga menerima sagu hati perkahwinan iaitu wang tunai RM1, 000 dan Bantuan Perkahwinan daripada Baitulmal MAIWP,” katanya.

Menurut Abdul Aziz lagi, Bantuan Perkahwinan adalah salah satu daripada 28 skim bantuan zakat yang disediakan MAIWP.

Ia bertujuan untuk meringankan beban kewangan bakal pengantin dalam mengadakan majlis walimatul urus dengan bantuan antara RM2,000 hingga RM3, 000 berasaskan had kifayah.

“Bantuan berkenaan diperkenalkan sejak tahun 2006 dan pada tahun ini sahaja, MAIWP membantu 325 pasangan dengan bantuan sebanyak RM714, 000.

“MAIWP mengalu-alukan golongan yang layak untuk memohon skim bantuan itu bagi membantu lebih ramai pasangan raja sehari yang memerlukan bantuan,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2019 @ 1:26pm
d