mutakhir

'Arwah mahu lauk ikan singgang'

Oleh Rosli Ilham

“WALAUPUN sedih dengan penemuan mayat suami tetapi saya bersyukur jasadnya berjaya ditemui,” kata Nor Azura Abd Aziz, 39, selepas mayat suaminya, Afandi Zakaria, 42, ditemui pasukan mencari dan menyelamat hari ini.

Mayat suaminya hilang dalam kejadian bot karam di muara Kuala Dungun pagi semalam, ditemui kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian pada 10.15 pagi.

Dalam kejadian 7.30 pagi semalam, mangsa bersama dua rakannya tercampak ke laut selepas bot dinaiki dipukul ombak besar.

Bagaimanapun, dua rakannya itu iaitu tekong bot, Mohamad Ekshan Kamaruddin, 32, dan Mohd Fadhil Jusoh, 39, selamat selepas berjaya berenang ke tepi pantai.

Nor Azura berkata, kini dia terpaksa mengalas tugas sebagai ketua keluarga untuk membesarkan tiga anaknya yang masih kecil termasuk seorang yang sudah bersekolah.

“Kehilangannya sangat dirasai tetapi saya perlu fokus untuk mencari peluang pekerjaan demi meneruskan kehidupan bersama anak-anak.

“Beginilah kehidupan sebagai isteri nelayan yang perlu tabah kerana tugas suami kita yang berdepan dengan pelbagai cabaran serta risiko di laut,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, dia tidak menyangka sikap suaminya yang riang dan bergurau dengannya dan anak pada malam sebelum kejadian itu adalah yang terakhir buat mereka.

“Arwah sangat pelik pada malam itu, bergurau dengan saya dan anak-anak termasuk meminta saya melunaskan hajatnya nak makan nasi dengan ikan singgang.

“Dia makan banyak malam itu dan berterima kasih kepada saya kerana menyediakan lauk kegemarannya.

“Tak sangka itu adalah petanda dia nak tinggalkan kami semua,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur mayat suaminya dijumpai kerana dapat menatap wajah arwah buat kali terakhir.

Berita berkaitan:

  • Nelayan dikhuatiri lemas bot dipukul ombak
  • Disiarkan pada: December 8, 2019 @ 3:31pm
    d