mutakhir

Tokoh animasi negara meninggal dunia

Oleh Norhayati Nordin

PENGASAS animasi digital yang turut dinobatkan tokoh penglipur lara animasi Malaysia, Kamaruddin Ismail, 63, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jam 4.15 petang tadi.

Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail meninggal akibat serangan jantung dan komplikasi penyakit lain seperti buah pinggang.

Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas), Amir Hamzah Hashim yang dihubungi Harian Metro berkata, Allayarham sudah mendapatkan rawatan lanjut di PPUM hampir dua bulan.

“Saya mewakili Amimas berasa sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang banyak berjasa dalam bidang animasi tanah air.

“Sepanjang pembabitan arwah dalam animasi, dia tokoh pelopor penggunaan teknologi komputer dan aplikasi digital pada era 90-an melalui penerbitan animasi Usop Sontorian,” katanya.

Amir berkata, Allahyarham juga pernah menggalas jawatan Presiden Animas kerana jasanya terhadap industri.

Menurut Amir, jenazah Allahyarham dimandi, kafan dan disolatkan di Masjid Assalam PJS 3, Petaling Jaya dan dijangka dikebumikan selepas solat Maghrib

Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Tandang, Petaling Jaya.

Pada 1997 Allahyarham pernah mencipta dan menerbitkan animasi Keluang Man melalui kaedah hibrid animasi 2D dan 3D.

Malah, animasi beliau juga pernah dinobatkan sebagai Filem Animasi Terbaik FFM 2004 dan 2005 melaui animasi KUMANG Legenda Sarawak dan Animasi Legenda Kinabalu.

Pada 1 April 2018, Rumah Kartun dan Komik Malaysia bersama Animas menobatkan Allahyarham sebagai Tokoh Penglipurlara Animasi Malaysia di malam kemuncak Anugerah Kartunis dan Hari Kartunis 2018 di Muzium Negara.

Disiarkan pada: December 8, 2019 @ 7:22pm
d