mutakhir

Permintaan keluarga selaras sunnah

KUALA LUMPUR: “Itulah sebaiknya dan menepati sunnah dianjurkan,” kata Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah (SPJ) Malaysia, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkaitan permintaan waris kemalangan maut rakyat Malaysia di New Zealand supaya jenazah dikebumikan di negara berkenaan.

Muhammad Rafieudin berkata, permintaan keluarga berkenaan selaras sabda Rasulullah iaitu: ‘Sesungguhnya apabila seorang lelaki meninggal dunia bukan pada tempat kelahirannya, akan dihitungkan (ganjaran pahala seluas) jarak antara tempat kelahirannya hingga ke tempatnya di syurga’. (Hadis riyawat Ahmad, an-Nasa’i & Ibnu Majah)

Beliau yang berpengalaman menguruskan jenazah rakyat Malaysia di luar negara termasuk Australia, Singapura, Indonesia, Myanmar dan Thailand menjelaskan jika jenazah dibawa pulang ke Malaysia, jasadnya perlu melalui proses embalming (pengawetan mayat) yang menyakitkan jasad itu.

“Ini kerana itu syarat dan prosedur penerbangan jenazah. Maka orang yang faham agama pasti akan memudahkan urusan penyempurnaan jenazah. Wallahualam.

“Prosedur membawa pulang jenazah dari luar negara perlu mendapatkan kebenaran dan urusan dokumentasi daripada pihak kedutaan.

“Selepas itu mayat diawet dan dimasukkan ke dalam keranda sebelum diterbangkan ke negara asal. Prosedurnya memakan masa tiga hingga lima hari kebiasaannya dan terkadang lagi lama dari itu,” katanya ketika mengulas laporan muka depan Metro Ahad, semalam.

Laporan memetik, pihak keluarga merayu supaya mangsa dikebumikan di Christchurch, New Zealand sebagai menghormati hasrat mangsa untuk mengunjungi masjid Christchurch yang menjadi serangan pengganas Mac lalu.

Jumaat lalu, tiga rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia manakala dua lagi parah ketika ketika bercuti di negara berkenaan.

Mereka sekeluarga yang menaiki kereta sewa terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Negeri 1, Kaikoura pada 3.10 petang, Jumaat waktu tempatan (10.10 pagi waktu Malaysia).

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand mengesahkan identiti mereka yang maut iaitu pasangan suami isteri Adanan Jemain, 49, dan Dr Rumihati Abd Hamid, 49, serta anak mereka Nuraleeyah Maisarah Arifah, 13.

Dua lagi anak pasangan berkenaan kritikal iaitu Nur Irfan, 15, sebelum meninggal dunia semalam ketika dirawat di Hospital Christchurch dan Nur Arifah, 11, yang dirawat di Hospital Wllington dilaporkan stabil.

Terdahulu, portal MyMetro memetik Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo berkata, urusan pengebumian jenazah berkenaan kini sedang dibuat.

“Jenazah mangsa akan dikebumikan di Christchurch sebagaimana permintaan keluarganya yang tiba di New Zealand.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia kini sedang membantu urusan pengebumian yang dijangka dibuat esok (hari ini),” katanya.

Semalam, keluarga mangsa tiba di Christchurch dan dibawa ke hospital bagi melakukan pengecaman identiti jenazah.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 5:30am
d