mutakhir

Tak pernah lihat penyata tiga akaun - Najib

Oleh Murni Wan Omar

DATUK Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa sebelum cek berjumlah besar dikeluarkan, beliau akan memeriksa dahulu sama ada dana mencukupi di dalam akaun.

Menurutnya, beliau akan memaklumkan dan bertanya kepada Ketua Setiausaha Sulitnya, Datuk Seri Azlin Alias sama ada dana mencukupi untuk berbuat demikian.

“Jika mencukupi saya akan meneruskan dengan pengeluaran cek. Memandangkan tiada isu sepanjang tiga tahun akaun 694 (akaun lama) beroperasi saya tidak menjangkakan sesuatu yang tidak baik.

“Cek yang saya keluarkan sentiasa diluluskan kecuali satu atau dua keadaan di mana Azlin memberitahu saya bahawa cek perlu dikeluarkan semula berikutan terdapat kesilapan butiran yang diisi. Saya dengan itu yakin dengan kepercayaan bahawa akaun itu adalah berdasarkan sumber sewajarnya,” katanya.

Najib berkata beliau tidak pernah membenarkan Azlin atau Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil melepaskan butiran perbankan miliknya kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Sementara itu, Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah melihat penyata bank tiga akaun barunya pada masa itu.

“Saya percaya penyata bank itu disimpan oleh Azlin. Baru-baru ini, (ketika perbicaraan) saya mendapat tahu bahawa Jho Low mengambil langkah untuk memastikan penyata bank tidak diserahkan kepada saya dan disimpan oleh bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu.

“Saya beranggapan bahawa Azlin ada menerimanya dan menguruskan rekodnya. Hanyalah baru-baru ini saya sedar bahawa penyata bank disimpan jauh daripada saya dengan niat mengelakkan saya daripada mendapat tahu keadaan sebenar akaun baru itu,” katanya.

Menjawab soalan sama ada beliau ada membenarkan pihak bank menerima arahan berkenaan dengan pemindahan wang dari mana-mana akaun dengan menghantar wang itu secara elektronik, Najib berkata tidak dalam pengetahuannya.

“Saya tidak akan melakukan hal sedemikian memandangkan saya hanya berniat untuk menggunakan dana itu selaras dengan pengeluaran cek itu. Berdasarkan kepercayaan saya, selain daripada pemindahan dana keluar daripada 694 (akaun lama kepada akaun baru) tidak terdapat pemindahan wang dengan cara lain.

“Berkenaan dengan akaun baru, pada ketika itu saya tidak menyedari sebarang pemindahan wang selain daripada cek yang saya keluarkan kecuali dana yang dipindahkan apabila akaun baru ditutup,” katanya.

Terdahulu, Najib memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau menggunakan dana dari tiga akaun baru atas kepercayaan ia adalah wang yang boleh digunakan atas budi bicara mutlaknya.

Menurutnya, ketika itu beliau percaya bahawa dana itu bersumberkan derma dari akaun lama yang sudah ditutup dan oleh itu terus menggunakannya bagi tujuan politik, sosial dan kebajikan.

“Azlin ada memberitahu bahawa sumbangan ke arah usaha CSR saya boleh dibuat melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M). Saya percaya sumbangan itu akan diberikan kepada saya sekiranya hal itu diluluskan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah.

“Sekitar tahun 2014, Azlin juga ada memberitahu bahawa derma lanjut sudah diterima daripada Raja Abdullah (Raja Arab Saudi) melalui pemindahan mata wang asing. Saya percaya ini semestinya dimaklumkan oleh Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) kepadanya,” katanya.

Najib berkata, beliau ada ditunjukkan surat daripada wakil Raja Abdullah dan difahamkan bahawa kewujudan derma itu sudah dilaporkan kepada pihak bank, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Ketika dimaklumkan berhubung pembukaan akaun baru, Azlin memberikan saya 10 buku cek dan saya diberitahu bahawa dana itu adalah dari akaun 694 (akaun yang ditutup) yang dipindahkan ke dalam akaun itu,” katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 11:19am
d