mutakhir

'Beri kecelikan pada agamawan, ustaz' - Mufti

Oleh Idris Musa

KANAK-kanak yang mengutus surat kepada pengurusan sebuah surau selepas dihalang solat saf pertama sebelum ini berkesempatan bertemu dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, hari ini.

Pertemuan di pejabat mufti itu membolehkan Nadzrul Zarfan Sharul Azly, 10, ditemani ibu bapanya, menceritakan pengalaman sebenar dilaluinya.

Video pertemuan itu dimuat naik di Facebook rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, yang mana Nadzrul turut berpeluang memperdengarkan bacaan surah al-Fatihah dan doa qunut secara berdepan dengan mufti.

Dalam pada itu, Zulkifli memberikan sedikit nasihat kepada kanak-kanak terbabit serta yang lain.

“Orang tua kita hormat, ibu bapa kita hormat, guru-guru kita hormat.

“Sikap yang ditunjukkan oleh anakanda Nadzrul ni baik sebenarnya, kurang-kurang masalah ni memberi kecelikan kepada pihak agamawan dan pihak ustaz.

“Memang ada khilaf satu-satu (perkara) tu. Jadi yang penting kita tafsirkan khilaf yang rahmah seperti ini menyebabkan masing-masing baik,” katanya.

Beliau memberikan kata-kata semangat kepada Nadzrul untuk terus ke surau atau masjid.

“Ustaz rasa seronok sangat, mudah-mudahan anakanda Nadzrul jadi anak yang baik, yang soleh, yang benar-benar maju ke depan,” katanya mengakhiri dengan doa kebaikan dan kebahagiaan.

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila Nadzrul menulis surat meminta penjelasan lanjut daripada imam, pengerusi serta ahli jawatankuasa surau yang menghalangnya solat di saf hadapan.

Perkara itu mendapat maklum balas Zulkifli dan warganet lain yang memuji sikap kanak-kanak terbabit.

Ibu kanak-kanak itu, Nazira Rahim bagaimanapun dilaporkan berkata, surat berkenaan ditulis anaknya dua tahun lalu ketika

berusia lapan tahun.

Berita berkaitan

Mufti ada hadiah untuk adik Nadzrul

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 12:58pm
d