mutakhir

Dua beradik hilang di laut

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“SAYA dah cuba hubungi telefon bimbit adik dan abang beberapa kali tetapi sampai hari ini gagal menyebabkan kami sekeluarga tak sedap hati dan bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” kata Ng Shwu Yi, 41.

Wanita itu berkata, abangnya, Ng Guo Xian, 43, dan adik lelakinya, Ng Guo Tong, 34, dipercayai keluar ke laut sejak Jumaat lalu dari pelantar ikan Kuala Sala, di Yan.

Katanya, mereka dipercayai keluar ke laut pada 9 pagi dan bertolak dari rumah mereka di Kampung Jemerlang, di Yan.

“Selalunya apabila mereka keluar, mereka akan balik sebelah petang hari itu juga tapi dah banyak hari... tak ada khabar berita.

“Kami sekeluarga risau dengan keselamatan mereka dan membuat laporan polis untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurut Shwu Yi, abangnya bekerja sebagai juruteknik, manakala adiknya pula bekerja sebagai nelayan sepenuh masa.

Katanya, namun abangnya minat menangkap ikan dan mengikut adik bongsu mereka turun ke laut pada hari kejadian.

“Abang sudah berpisah dengan bekas isterinya dan mempunyai seorang anak, manakala adik bongsu pula masih bujang.

“Kami harap mereka selamat dan ditemui nelayan lain. Malah, saya sudah memaklumkan kejadian itu kepada nelayan di Pulau Pinang dan Kuala Kedah mengenai kehilangan abang dan adik,” katanya.

Sementara itu, Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat Malaysia (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairil Izhar Noraazmi berkata, operasi mencari dan menyelamat memasuki hari kedua dan ia bermula 7 pagi tadi.

Beliau berkata, operasi turut membabitkan sebuah pesawat CL415 Amphibia Bombardier, sebuah bot daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, sebuah bot daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sebuah bot daripada Pasukan Gerakan Marin (PPM) serta beberapa buah bot nelayan tempatan.

“Sektor pencarian dibahagikan kepada empat sektor berdasarkan aset-aset yang terbabit.

“Kawasan pencarian membabitkan keluasan 995 batu nautika dari lokasi terakhir bot itu dilihat,” katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 1:46pm
d