mutakhir

Jangkitan polio dari luar Sabah [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

PUNCA jangkitan virus polio dialami bayi lelaki berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah disyaki datang dari luar Sabah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hanya ada dua kemungkinan simptom berkenaan berlaku iaitu datang dari Filipina atau pun keluarga terbabit ke luar negara.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati keluarga bayi berkenaan tidak mempunyai sejarah ke luar negara sebelum ini.

“Setakat ini yang paling munasabah ialah datang dari luar Sabah kerana mereka tidak mempunyai sejarah ke luar negara. Berkemungkinan orang luar yang datang ke Sabah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kesihatan 2019, di Putrajaya, hari ini.

Dzulkefly berkata, bayi lekaki terbabit dijangkiti simptom berkenaan sebelum dia menerima suntikan vaksin yang kedua.

“Saya berharap ibu bapa dapat melengkapkan kesemua tiga dos suntikan vaksin yang disarankan supaya dapat menghindarkan anak masing-masing dijangkiti penyakit seumpama ini.

“Antara langkah yang kita sudah ambil ialah dengan pergi ke kawasan penempatan bayi berkenaan serta memberikan suntikan vaksin kepada mereka yang berumur bawah 15 tahun.

“Selain itu kita juga akan mengenalpasti kawasan yang berisiko untuk dijangkiti simptom ini. Buat masa ini hanya suntikan vaksin sahaja dapat membantu kerana tidak ada ubat untuk menyembuhkan simptom terbabit,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah kementeriannya akan mewajibkan pengambilan vaksin, Dzulkefly berkata, perkara itu hanya akan dilakukan sekiranya ada keperluan.

“Kita akan bincang mengenai perkara itu, kalau ada keperluan kita akan lakukan. Sekarang ini kita hanya akan pergi ke kawasan orang Asli atau kawasan terpencil untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak di sana,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dijangkiti virus polio yang menjadi kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Mangsa didapati mengalami demam diikuti lemah anggota badan, dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), Jumaat lalu.

Di Malaysia, vaksin polio diberikan sejak 1972. Program imunisasi polio berjaya membasmi kes polio di Malaysia dengan kes terakhir dikesan pada 1992, dan Malaysia diisytiharkan sebagai negara bebas polio pada 2000.

Berita berkaitan

Bayi 3 bulan dijangkiti polio

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 2:28pm
d