mutakhir

Isteri cederakan suami diarah periksa mental

Oleh Norizuan Shamsuddin

MAHKAMAH Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, memerintahkan suri rumah yang sebelum ini dilaporkan mencederakan suami dengan tukul besi supaya menjalani penilaian kesihatan mental Hospital Permai, Johor.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Nooriah Osman terhadap Roslina Mat Yousop, 35, mengikut Seksyen 342 (1) Kanun Prosedur Jenayah dan mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan di hospital berkenaan selama 30 hari.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sewaktu pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan suami, Shamsul Bahari Abu Bakar, 42, dengan menggunakan tukul besi di sebuah rumah di Blok Duyung Kondo Rakyat Kuala Ibai, Kuala Terengganu, 10 pagi, 4 Disember lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua hukuman berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Januari depan sebagai sebutan semula kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan seorang lelaki cedera dipukul dengan penyodok sampah, dibaling bateri kereta selain dihentak di kepala menggunakan tukul besi oleh isterinya.

Kejadian menyebabkan lelaki berkenaan menerima enam jahitan di kepala, selain calar di belakang badan, bahu dan lengan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila wanita terbabit berang terhadap suami kerana enggan menuruti kemahuannya yang menyuruh lelaki itu menjual besi buruk.

Berita berkaitan

Nelang sungguh binimu

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 3:22pm
d