mutakhir

Bergelut dengan ular sawa selamatkan kucing

Oleh Ahmad Ismail

“SAYA nekad bergelut dengan seekor ular sawa batik untuk menyelamatkan kucing bunting,” kata peniaga, Mohamad Asraf Azman menceritakan pengalamannya menangkap ular di Jalan Kampung Gubah, Segamat, hari ini.

Mohamad Asnaf, 24, berkata, dalam kejadian 9.30 pagi itu, dia menunggang motosikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gubah selepas bersarapan di kawasan berhampiran.

“Apabila tiba di kawasan semak, saya melihat seekor ular sawa menjalar ke arah seekor kucing bunting dipercayai nyenyak tidur untuk memakannya.

“Melihat keadaan itu, saya nekad menghampiri haiwan berkenaan dan terjun dari motosikal sebelum menangkap kepala ular berkenaan.

“Badan ular itu cuba membelit tangan saya dan syukurlah saya sempat memasukkannya ke dalam plastik yang ditemui di kawasan berhampiran.

“Selepas berjaya menangkapnya, saya menyerahkan ular itu kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini penduduk kampung mendakwa beberapa ayam serta kucing mereka hilang secara misteri dan penemuan ular sawa sepanjang 2.5 meter dan seberat kira-kira 35 kilogram mungkin menjawab semua persoalan selama ini.

Sementara itu, Pegawai APM Segamat, Kapten (PA) Mohd Nazlan Ruslan berkata, ular sawa batik betina itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 4:11pm
d