mutakhir

Satu PPS dibuka di Kota Tinggi

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SATU Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ramunia, Kota Tinggi semalam bagi menempatkan 19 mangsa daripada lima keluarga selepas banjir melanda daerah ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi berkata, PPS dibuka sejak 2.30 petang itu membabitkan penduduk di tiga kawasan terjejas iaitu Kampung Baharu, Kampung Changi dan Kampung Jumis Bukit Raja.

Beliau berkata, pemantauan masih dijalankan agensi terbabit seperti Pejabat Daerah Kota Tinggi, Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya, agensi lain adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Penghulu Mukim dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Johor berkata, hujan lebat di Kota Tinggi sejak 9.30 pagi hari ini menyebabkan beberapa lokasi sekitar bandar itu serta jalan utama lain ditenggelami air.

Menurut PGO, lokasi dilanda banjir adalah Pekan Kota Tinggi dengan air naik 0.2 meter menyebabkan laluan utama ditutup bagi kenderaan ringan dan tiada mangsa dilaporkan terbabit dengan pemindahan.

“Di Kilometer 6 Jalan Kota Tinggi-Mawai pula, air naik setinggi 0.5 meter menyebabkan laluan utama ditutup bagi kenderaan ringan dan tiada mangsa dilaporkan terbabit dengan pemindahan.

“Jalan kini dilaporkan dinaiki air pula adalah Jalan Perani, Jalan Sungai Ara, Jalan Mawai, Jalan Kota Tinggi-Mersing dan Jalan Lukut Cina," katanya.

Pemantauan keadaan banjir itu dilakukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 4:26pm
d