mutakhir

Penangan viral, suami isteri didakwa

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PEMANDU lori dan isterinya yang menghalang tugas polis ketika ditahan untuk pemeriksaan susulan membawa muatan rangka kereta dalam keadaan berbahaya Khamis lalu didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini.

M Kevin Raj, 33, dan isterinya R Loganayagi, 29, didakwa di dua mahkamah berasingan dengan tiga pertuduhan membabitkan kes yang tular di media sosial susulan video kejadian itu dirakam dan disebar hingga mendapat perhatian ramai, selain beberapa kesalahan lain termasuk waran tangkap membabitkan saman trafik tertunggak.

Kevin Raj didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah 2 mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas seorang pegawai polis iaitu Sub Inspektor Zulkifli Md Asid dengan cara enggan mengikut arahan untuk ikut ke balai polis supaya boleh diberikan surat saman atas kesalahan jalan raya.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang didakwa dilakukan di tepi Jalan Pasir Putih - Lahat, di Ipoh, pada 9.45 pagi Khamis lalu yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Kevin kemudian dikenakan jaminan sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Terdahulu di Mahkamah Majistret Jenayah 3, dia mengaku tidak bersalah atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan pada 5 September 2018 yang didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibenarkan jaminan sebanyak RM3,200 dengan seorang penjamin.

Dia turut didakwa dengan tujuh kesalahan trafik sejak 2003 hingga 2014 yang mempunyai empat waran tangkap dan mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan dan didenda RM1,700 atau 35 hari penjara jika gagal membayar.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Loganayagi didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan menghina seorang pegawai polis dengan menuduh pegawai itu meminta wang ketika ditahan untuk pemeriksaan.

Dia bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan serta dikenakan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin.

Suri rumah itu juga tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 427 dan 160 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat menghempas topi keledar ke cermin hadapan kereta hingga retak dan gaduh gempar dengan dua individu lain pada 12.30 tengah hari 14 Oktober lalu di Buntong, Ipoh.

Tertuduh dikenakan jaminan RM2,500 bagi kesalahan khianat dan RM1,000 bagi kesalahan gaduh gembar di tempat awam dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Loganayagi kemudian didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah 3, atas kesalahan mengikut Peraturan 25 (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal menunjukkan sebarang kad pengenalan diri kepada pegawai polis dan dia mengaku bersalah serta didenda RM500 atau dua bulan penjara jika gagal membayar.

Kesemua kes dihadapi pasangan terbabit dijalankan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus bagi Mahkamah Majistret Jenayah 2 dan Majistret Nabihah Mohd Noor di Mahkamah Majistret Jenayah 3.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fadhil Ab Wahab dan K Darinee serta Pegawai Pendakwa Inspektor Muhaimin Ab Kadir bagi kes kesalahan trafik, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam K Nathan dan Dayang Nor Emilia Azman Shah.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 5:20pm
d