mutakhir

Dadah dalam rangka pintu kontena [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEMBUNYI dadah dalam rangka pintu kontena.

Itu taktik terbaru dilakukan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menyeludup masuk dadah ke negara ini dengan berselindung di sebalik perniagaan pakaian terpakai.

Kegiatan sindiket dari Pakistan itu terbongkar hasil risikan dan serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 2 Disember lalu apabila merampas 82 kilogram dadah bernilai RM5 juta.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Abdul Latiff Abdul Kadir berkata, serbuan dilakukan oleh Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) dan Bahagian Penguatkuasaan JDKM Zon Tengah.

Menurutnya, dalam serbuan pertama pada 1 tengah hari, pasukan menahan seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia antara 30-an hingga 40-an di sebuah gudang penyimpanan di Batu Caves, Selangor.

“Pemeriksaan menemui 168 kotak mengandungi plastik berisi serbuk putih disyaki ketamin 42 kilogram (kg) yang disembunyikan dalam rangka pintu tiga kontena di dalam gudang berkenaan.

“Susulan serbuan itu, pasukan menyita tiga lagi kontena yang masih dalam proses penghantaran ke gudang berkenaan. “Sitaan dilakukan di kawasan penyimpanan kontena syarikat pengangkutan di Pelabuhan Klang.

“Pemeriksaan pada rangka pintu kontena berkenaan turut menemui 168 kotak plastik berisi ketamin 40 kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Cawangan Narkotik JKDM Nilai hari ini.

Abdul Latiff berkata, semua kontena diimport dari Pelabuhan Karachi, Pakistan ke Pelabuhan Klang sebelum dihantar ke gudang berkenaan.

“Sindiket terbabit disyaki beroperasi sudah lama, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kita percaya dadah itu dibawa masuk untuk pasaran tempatan berdasarkan jenis dadah ketamin yang popular di negara ini,” katanya.

Katanya, keempat-empat suspek direman 14 hari sehingga 16 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, pihaknya kini giat mengesan dua lagi suspek warga Pakistan yang masih bebas dikenali Muhammad Fasih Khan, 27, dan Muhammad Bilal Malik, 29, untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 5:49pm
d