mutakhir

Toyek gigih bisnes bengkel

Oleh BERNAMA

ALOR SETAR: Kegigihan mekanik motosikal orang kurang upaya (OKU) yang tiada jari menggunakan peralatan seperti spanar, playar dan pemutar skru memang luar biasa.

Kebolehan dimiliki Mohd Rahmat Abd Somat, 26, atau lebih dikenali sebagai Toyek dalam kalangan keluarga dan rakan ternyata wajar diteladani.

Dilahirkan dengan kudung kedua-dua tangannya dari pergelangan tangan bukan penghalang kepada pemuda itu menjadi mekanik hingga mampu memiliki bengkel motosikal Toyek Racing di Langgar.

“Bengkel ini walaupun jauh dalam kampung, ketelitian hasil kerja saya membuatkan ramai pelanggan datang mendapatkan perkhidmatan saya,” katanya.

Mohd Rahmat berkata, kerja dilakukan seorang diri dengan bantuan pelbagai mesin yang ada di bengkelnya termasuk mesin kimpalan, pencanai enjin, pemampat dan porting block.

“Tapi kalau ada bahagian motosikal yang sukar dibuka, saya minta bantuan abang untuk melakukannya,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Menurutnya, bengkel itu dibuka pada 2008 hasil idea abangnya, Allahyarham Abd Ghamel yang membantunya menyenaraikan peralatan, barangan dan mesin yang perlu ada untuk membuka perniagaan itu.

Selepas abangnya meninggal dunia pada 2010 kerana penyakit kronik sistemik lupus eritematosus (SLE), Mohd Rahmat berkata, dia tetap bersemangat meneruskan kerjaya itu, apatah lagi minatnya terhadap motosikal bermula sejak di bangku sekolah.

“Sejak di tingkatan dua saya menyimpan duit diberikan ibu dan ayah untuk belanja sekolah, selain membantu mak menjual nasi lemak dan kacang.

“Selepas sekolah saya ke bengkel di Pekan Jabi. Di situ saya belajar mengenali bahagian enjin motosikal dan cara membaiki motosikal dan memegang peralatan,” katanya.

Dengan duit simpanan sejak zaman persekolahan dan bantuan daripada ahli keluarga dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dia mengumpul RM30,000 untuk membuka bengkel dan membeli peralatan diperlukan.

“Peralatan dan mesin yang saya beli adalah barangan terpakai yang hendak dilupuskan kilang. Saya membelinya dengan harga jauh lebih murah daripada harga asal,” kata lulusan diploma Universiti Teknologi Mara, Kampus Merbok itu.

Mengenai pandangan masyarakat terhadapnya, Mohd Rahmat berkata, ada segelintir yang memandang rendah terhadap keupayaannya namun semua itu tidak membuatnya berkecil hati.

Sebaliknya dia sentiasa berfikiran positif dan menanam semangat untuk tidak mahu menyusahkan sesiapa demi mencari pendapatan sendiri.

“Pernah ada pelanggan datang ke bengkel saya untuk baiki motosikal tapi selepas dia tengok fizikal saya, dia terus balik.

“Ada yang menasihatkan saya supaya berhenti membaiki motosikal dan mencari pekerjaan lain kerana pekerjaan ini berbahaya.

“Bahaya tak semestinya kepada OKU malah orang normal pun boleh membahayakan kalau cuai,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 5:50am
d