mutakhir

Tiga kali bunyi dentuman... [METROTV]

Oleh Recqueal Raimi

RATUSAN pengguna jalan raya terpaksa berpatah balik akibat tanah runtuh di Jalan Kiulu - Tamparuli berhampiran Bayaon, Kampung Rangalau Baru, Kiulu, di Tuaran, hari ini.

Kejadian 2 pagi itu menyebabkan laluan sepanjang 20 meter mendap dan runtuh sekali gus menyebabkan jalan yang menghubungkan kampung berkenaan dengan Tamparuli tidak dapat dilalui.

Seorang penduduk kampung berhampiran, Frenando Bukana, 16, berkata, mereka sekeluarga menyedari kejadian itu sebaik terdengar tiga kali bunyi dentuman, pada awal pagi.

“Ketika itu, saya dan keluarga yang sedang tidur dikejutkan dengan bunyi dentuman.

“Pada mulanya, saya sangkakan hanya pokok tumbang kerana ia biasa berlaku setiap kali musim hujan.

“Namun sangkaan itu ternyata meleset apabila diberitahu jalan raya sepanjang 20 meter runtuh,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Frenando berkata, mereka sekeluarga terkejut selepas meninjau keadaan di lokasi berkenaan pada 5 pagi tadi.

Katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga tiba di lokasi seawal jam 7 pagi untuk meletakkan kon dan papan tanda amaran bagi menutup laluan di kedua-dua arah.

Tinjauan Harian Metro di lokasi bagaimanapun mendapati pengguna motosikal masih menggunakan laluan itu selepas membersihkan belukar di tepi jalan raya terbabit.

Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 10:50am
d