mutakhir

Perkukuh bekalan elektrik Pulau Langkawi

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

TENAGA Nasional Bhd (TNB) mempertingkatkan bekalan elektrik di Pulau Langkawi menerusi pemasangan kabel dasar laut sepanjang 26.5 kilometer (km).

Ketua Pegawai Grid TNB Datuk Ir Husaini Husin berkata, pemasangan kabel daripada tenaga Grid Nasional ke pulau itu bertujuan menjamin bekalan dan keperluan elektrik.

Katanya, ia juga sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dan mesyuarat Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik 2020 (APEC 2020) .

“Perentangan kabel dijangka dapat membantu persiapan Pulau Langkawi untuk menerima empat juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, selain menjadi satu daripada lokasi mesyuarat APEC.

“Sistem elektrik di Pulau Langkawi yang kini dikawal sepenuhnya secara automasi. Usaha merentang kabel dasar laut 132 kilovolt (kV) ini adalah sebahagian daripada perbelanjaan modal TNB untuk mengukuhkan infrastruktur elektrik negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kerja merentang kabel dasar laut menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Kuala Perlis dengan PMU Teluk Apau di Pulau Langkawi bermula Oktober lalu dan dijangka siap hujung tahun ini.

Husaini berkata, projek itu dapat mengukuhkan daya harap, kualiti, kestabilan dan kecekapan pembekalan elektrik ke Pulau Langkawi yang ketika ini mendapat bekalan dari Grid Nasional menerusi dua lagi kabel dasar laut sedia ada.

Menurutnya, kabel dasar laut yang sedang direntang itu menggunakan teknologi terkini iaitu ‘cross-linked polyethylene’ berbanding ‘oil-filled cable’ yang digunakan sebelum ini.

“Bermula awal tahun lalu, sistem bekalan elektrik di Pulau Langkawi dikawal secara automasi sepenuhnya melalui Kawalan Penyeliaan dan Permolehan Data Berkomputer (SCADA) yang menghubungkan semua 404 pencawang di pulau peranginan itu.

“Automasi ini akan membantu mempercepatkan masa pemulihan bekalan elektrik sekiranya berlaku kerosakan sistem TNB,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 12:49pm
d