mutakhir

Gangguan bekalan air di Seremban, Port Dickson

Oleh Hasbi Sidek

PENDUDUK di sebahagian daerah Seremban dan Port Dickson akan mengalami gangguan bekalan air bermula semalam ekoran pemberhentian segera operasi di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi akibat pencemaran minyak.

Gangguan bekalan air ini difahamkan mempunyai kaitan dengan sebahagian Sungai Anak Air Garam berdekatan Mambau, yang dikesan tercemar dengan bahan buangan dipercayai dibuang di longkang awam sebelum mengalir ke sungai berkenaan.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) Norzita Ismail berkata, usaha merawat air tercemar mungkin mengambil masa lama.

“SAINS ingin memaklumkan kepada semua pelanggan, kami akan melaksanakan pemberhentian segera operasi di LRA Sungai Linggi akibat penemuan kegiatan pembuangan minyak di sungai berkenaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, semalam.

“Proses rawatan LRA itu dijangka akan mengambil masa lama untuk merawat bekalan air mentah tercemar yang mengakibatkan gangguan sebahagian kawasan di Seremban dan Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, antara kawasan di Seremban yang terbabit gangguan ialah di Senawang, Kuala Sawah, Kampung Nyatoh, Rantau, Sendayan dan kawasan sekitarnya.

“Manakala di Port Dickson kawasan terbabit ialah di tempat penginapan dan kem sekitar Jalan Pantai, Pekan Port Dickson, Lukut sehingga seluruh kawasan Spring Hill , Sunggala, Tampin Linggi, Bukit Palong, Jimah, Bukit Pelandok dan seluruh kawasan Chuah,” katanya.

Norzita berkata, SAINS akan berusaha mengurangkan gangguan ke kawasan pengguna dan memohon kerjasama serta pemahaman semua pihak dalam hal yang tidak dijangkakan itu.

“Pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi kami di talian bebas tol 1-800-88-6982 untuk mendapatkan sebarang bantuan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 12:57pm
d